
SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) menyasarkan kemenangan antara 21 hingga 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, esok.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan penilaian pengundi terhadap prestasi gabungan tersebut sejak 2018 serta rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang menerajui kerajaan negeri selama dua penggal.
Menurut beliau, PH sekurang-kurangnya yakin mampu mempertahankan 19 kerusi, namun optimis jumlah itu boleh meningkat kepada antara 21 dan 22 kerusi sekiranya mendapat sokongan yang memberangsangkan daripada pengundi.
“Kami percaya kepada kebijaksanaan rakyat dalam membuat pilihan dan akan terus berkempen secara konsisten bagi memastikan mandat untuk membentuk kerajaan negeri dapat dikekalkan,” katanya.
Amirudin turut mengakui ,cabaran kali ini berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini susulan perubahan landskap politik serta pembentukan gabungan baharu.
“Walaupun berdepan cabaran tersebut, kami berusaha mendapatkan jumlah kerusi yang selesa bagi membolehkan kerajaan negeri terus dibentuk,” katanya lagi.
Mengulas dakwaan kononnya ‘gelombang biru’ dari Johor akan turut melanda Negeri Sembilan, beliau menyifatkan perkara itu sekadar naratif yang cuba dibawa oleh Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, katanya, PH akan terus mengetengahkan penyelesaian kepada isu rakyat berbanding memainkan retorik yang boleh memecahbelahkan masyarakat mengikut kaum.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, ketika ditemui pemberita di Kuala Pilah, berkata, Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Tok Min wajar diberi peluang untuk meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan.
Beliau turut menggesa pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian dan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan.
“Masa depan Negeri Sembilan terletak di tangan rakyat. Buatlah pilihan yang terbaik demi masa depan negeri ini,” katanya. - Getaran, 31 Julai 2026






