ITMAX menang kontrak RM120 juta bagi sistem lampu jalan pintar DBKL

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 2:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ITMAX menang kontrak RM120 juta bagi sistem lampu jalan pintar DBKL Image from: ITMAX menang kontrak RM120 juta bagi sistem lampu jalan pintar DBKL liza31/07/2026 - 14:12 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai – ITMAX System Berhad memenangi kontrak bernilai RM120 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membekal, memasang dan menyelenggara sistem lampu jalan pintar di seluruh ibu negara.

 

Kontrak selama enam tahun itu akan berkuat kuasa bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2032 yang akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai penyedia infrastruktur digital bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ITMAX berkata penganugerahan kontrak tersebut mencerminkan keyakinan berterusan DBKL terhadap keupayaan syarikat dalam melaksanakan projek bandar pintar melalui teknologi yang dibangunkan sendiri di negara ini.

 

“Menerusi projek berkenaan, ITMAX akan bertanggungjawab membekalkan sistem lampu jalan pintar, memasang serta menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan sepanjang tempoh kontrak.

 

“Kontrak itu dijangka terus menyumbang kepada pendapatan berulang syarikat selain mengukuhkan portfolio projek infrastruktur digital yang dimiliki,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Teknologi Tempatan Bertaraf Dunia

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX System, William Tan Wei Lun berkata, syarikat berbesar hati menerima kontrak tersebut yang mencerminkan keyakinan berterusan DBKL terhadap keupayaan dan rekod prestasi ITMAX.

 

Beliau berkata, kontrak itu turut membuktikan sistem lampu jalan pintar yang direka bentuk serta dibangunkan sepenuhnya di Malaysia mampu menawarkan penyelesaian bandar pintar bertaraf dunia.

 

“Platform lampu jalan pintar ITMAX dilengkapi pelbagai ciri canggih termasuk pelarasan tahap pencahayaan secara automatik, pemantauan berpusat serta kemampuan mengesan kerosakan secara masa nyata.

 

“Teknologi tersebut membantu meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga, memperkukuh kebolehpercayaan operasi selain mempercepatkan tindakan penyelenggaraan apabila berlaku kerosakan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan awam.

 

"Kami berbangga kerana teknologi tempatan yang dibangunkan oleh tenaga kerja Malaysia terus mendapat pengiktirafan dan kepercayaan. Kami kekal komited membangunkan teknologi berasaskan AI bagi menyokong transformasi digital negara serta mewujudkan bandar yang lebih pintar, selamat dan mampan," katanya.

 

Perkukuh Kedudukan Dalam Bandar Pintar

Ditubuhkan pada April 2001, ITMAX merupakan penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu berasaskan AI yang memainkan peranan penting dalam pembangunan bandar pintar di Malaysia.

 

Selain sistem lampu jalan pintar, syarikat itu turut membekalkan dan memasang sistem pengurusan trafik berangkai, menyediakan kemudahan melibatkan perkhidmatan pengawasan video serta rangkaian komunikasi.

 

ITMAX juga mengendalikan perkhidmatan pengurusan parkir pintar untuk beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melengkapkan ekosistem penyelesaian bandar pintar yang ditawarkannya.

 

Dengan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilaksanakan secara dalaman, syarikat itu turut membangunkan pelbagai teknologi berasaskan AI bagi membantu merealisasikan konsep bandar pintar, sekali gus menyokong agenda transformasi digital negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved