johardy14/08/2026 - 09:56 Dato' Bahudin Mansor dan Norashikin Mat Yusof Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Dua pengarah bebas bukan eksekutif Destini Berhad meletakkan jawatan seminggu sebelum mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadual mempertimbangkan resolusi untuk menyingkirkan mereka daripada Lembaga Pengarah pada 21 Ogos ini.
Norashikin Mat Yusof, 40, dan Dato' Bahudin Mansor, 66, meletakkan jawatan pada 13 Ogos, menurut pemakluman berasingan kepada Bursa Malaysia. Kedua-duanya memberikan alasan komitmen peribadi bagi peletakan jawatan tersebut.
Bahudin dinamakan dalam Resolusi Biasa 3 dalam notis EGM yang mencadangkan beliau disingkirkan sebagai pengarah berkuat kuasa serta-merta, manakala Norashikin dinamakan dalam Resolusi Biasa 4.
Mereka adalah antara empat pengarah Destini yang dicadangkan untuk disingkirkan pada EGM yang dijadual berlangsung pada 21 Ogos.
Dua lagi ialah pengerusi eksekutif Destini, Dato' Abd Aziz Haji Sheikh Fadzir dan Ismail Mustaffa, yang masing-masing dicadangkan untuk disingkirkan menerusi Resolusi Biasa 1 dan 2.
Empat pemegang saham minta EGM
EGM itu diadakan oleh LINC Shared Services Sdn Bhd, Veritas Aman Sdn Bhd, WP Travel Sdn Bhd dan Azulite Bloom Sdn Bhd, yang secara kolektif dirujuk Destini sebagai pihak yang mengadakan mesyuarat berkenaan.
Destini berkata, syarikat menerima notis pada 22 Julai untuk mengadakan EGM menurut Seksyen 310(b) Akta Syarikat 2016, berserta notis khas mengenai hasrat untuk mengemukakan resolusi menurut Seksyen 206(3) dan 322 akta berkenaan.
Berdasarkan Rekod Pendeposit bertarikh 20 Julai, empat pemegang saham itu secara kolektif memiliki 55.78 juta saham Destini yang mempunyai hak mengundi, mewakili kira-kira 10.15% daripada saham berkenaan.
Selain cadangan menyingkirkan empat pengarah itu, notis EGM berkenaan mencadangkan pelantikan Datuk Mua'Amar Ghadafi Jamal Datuk Wira Jamaludin sebagai pengarah dan Dato' Seri DiRaja Syed Razlan Ibni Syed Putra sebagai pengerusi bukan eksekutif.
Resolusi ketujuh pula mencadangkan supaya mana-mana individu yang dilantik sebagai pengarah Destini sejak tarikh notis khas dikeluarkan sehingga sebelum EGM bermula atau mana-mana penangguhannya, disingkirkan sebagai pengarah berkuat kuasa serta-merta.
Norashikin sertai Lembaga Pengarah pada Januari 2025
Norashikin dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Destini pada 3 Januari 2025. Beliau turut menganggotai Jawatankuasa Audit serta Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (Kewangan) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Diploma Perakaunan dari Kolej Matrikulasi Perlis.
Bahudin pula dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Destini pada 19 Jun 2023.
Beliau merupakan graduan Drake University di Des Moines, Iowa, Amerika Syarikat dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan dan Kewangan serta memiliki Diploma Lanjutan Perakaunan dari Institut Teknologi MARA. Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan CPA Australia.
Bahudin ialah pemilik tunggal Bahudin & Associates, sebuah firma akauntan bertauliah yang menyediakan perkhidmatan audit berkanun, perundingan dan khidmat nasihat percukaian serta perakaunan kepada syarikat dan individu.
EGM Destini pada 21 Ogos 2026
EGM itu dijadual berlangsung di Level 1, Emerald Space, MiCasa All Suite Hotel, Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi, 21 Ogos.
Destini sebelum ini berkata, syarikat sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung notis dan resolusi yang dicadangkan serta akan membuat pengumuman lanjut mengenai sebarang perkembangan material, jika berkenaan. — DagangNews.com






