johardy05/08/2026 - 17:33 Prof. Dato' Dr Hanafiah Harunarashid (dua dari kiri), bersama Dr Nik Fawaz Nik Abdul Aziz (kiri), bertukar dokumen MoU dengan Prof. London Lucien Ooi serta Vijaya Rao, Pengarah Pejabat Kerjasama Antarabangsa di SingHealth (kanan). Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com JOHOR BAHRU 5 Ogos – KPJ Healthcare Bhd menjalin kerjasama strategik dengan SingHealth bagi memperkukuh keupayaan dalam inovasi penjagaan kesihatan, penyelidikan klinikal, pendidikan dan simulasi perubatan.
Kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu mewujudkan rangka kerja jangka panjang untuk kolaborasi antara KPJ Healthcare dengan SingHealth, kelompok penjagaan kesihatan terbesar di Singapura.
Kerjasama strategij ini menghimpunkan rangkaian hospital pakar KPJ Healthcare di seluruh negara dan KPJ Health System (KPJHS), Sistem Kesihatan Akademik swasta pertama Malaysia, bersama rangkaian bersepadu SingHealth yang merangkumi hospital akut, hospital komuniti, pusat kepakaran kebangsaan dan poliklinik.
Menurut KPJ Healthcare, SingHealth menyediakan perkhidmatan merentasi lebih 40 kepakaran klinikal dan pembedahan serta merupakan antara kelompok penjagaan kesihatan akademik yang paling dihormati di Asia.

Kedua-dua organisasi akan bekerjasama membangunkan bakat penjagaan kesihatan, memacu penyelidikan dan inovasi, memperkukuh keupayaan kepakaran serta menggalakkan pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik.
MoU itu meliputi lima bidang strategik iaitu pendidikan klinikal dan pembangunan tenaga kerja, penyelidikan dan inovasi, kolaborasi klinikal, kesihatan digital dan kecerdasan buatan (AI), serta pertukaran pengetahuan.
Tumpuan kepada latihan pakar dan penyelidikan bersama
Bidang kerjasama awal merangkumi program felo, penempatan pakar dan pertukaran akademik, di samping penyelidikan bersama, penerbitan saintifik, persidangan, pembangunan kepimpinan penjagaan kesihatan serta simulasi perubatan.
Kerjasama itu turut meliputi pengurusan bersama kes-kes klinikal yang kompleks.

Pengerusi Majlis Tadbir Urus KPJHS yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, cabaran terbesar dalam sektor penjagaan kesihatan tidak boleh diselesaikan oleh sebuah institusi sahaja.
Beliau berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama untuk saling belajar, membangunkan bakat penjagaan kesihatan masa depan serta memacu inovasi yang akhirnya meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.
Pengarah Kumpulan Kerjasama Antarabangsa SingHealth yang juga Pengarah SingHealth Duke-NUS Global Health Institute, Prof. London Lucien Ooi berkata, MoU itu menyediakan rangka kerja kerjasama dalam bidang yang menjadi kepentingan bersama termasuk inovasi penjagaan kesihatan, simulasi, pendidikan dan penyelidikan.

Bagi KPJ Healthcare, kerjasama itu menyokong pembangunan berterusan KPJ Health System dengan mempercepat integrasi Amalan, Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi menerusi kerjasama strategik antarabangsa.
Usaha itu akan dipacu menerusi Future Health Institute (FHI), platform strategik KPJ Healthcare yang mengintegrasikan empat tonggak tersebut serta memudah cara kerjasama dengan rakan akademik dan klinikal terkemuka di seluruh dunia.
Majlis pertukaran MoU itu berlangsung di Johor Specialist Hospital yang menyaksikan Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare, Profesor Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid bertukar dokumen MoU dengan Prof. London Lucien Ooi bagi pihak SingHealth.
Majlis itu disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Operasi Kesihatan Bersekutu dan Runcit KPJ Healthcare, Dr. Nik Fawaz Nik Abdul Aziz serta Pengarah Pejabat Kerjasama Antarabangsa SingHealth, Vijaya Rao. - DagangNews.com



