PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji Harimau Selatan yang menampilkan aksi terbaik menentang Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat malam.
Munoz berkata, bukan mudah bagi anak-anak buahnya mengekalkan prestasi cemerlang berikutan jadual perlawanan yang padat.
“Kita bermain selepas dua ke tiga hari, satu proses yang cepat dan saya gembira dengan mereka.
“Kita ada pelbagai momen positif dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan. Selepas ini, beberapa aspek akan diperbaiki menjelang aksi-aksi penting lain,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan tersebut.
Kemenangan 3-0 JDT ke atas Negeri Sembilan menyaksikan Harimau Selatan kini mengungguli kedudukan liga dengan 15 mata manakala skuad kendalian Daniel Giminez mengumpul empat mata di tangga ketujuh.
Tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit ke-11, menerusi Shahab Zaheditabar yang pantas menyambar bola muntah selepas tendangan Bergson da Silva dari luar kotak penalti ditepis penjaga gol pasukan lawan, Muhammad Azri Ab Ghani.
Bergson menambah jaringan kedua JDT minit ke-30 hasil hantaran bola Mohd Afiq Fazail.
Gol ketiga Harimau Selatan diraih minit ke-65 menerusi pemain gantian Marcos Guilherme yang bijak menyempurnakan hantaran Arif Aiman Mohd Hanapi.
Mengulas perlawanan tersebut, jurulatih kelahiran Sepanyol itu berkata, pemain muda JDT, Muhammad Aiman Danish Azli Abdul Azim semakin menonjolkan kemampuan diri dan memberikan persembahan menarik.
“Beliau menjalani latihan sangat baik dan memiliki naluri tinggi untuk menjaringkan gol. Ia satu perkara positif dan kita akan melihat apa yang berlaku dalam minggu-minggu akan datang,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Munoz turut memuji Negeri Sembilan yang memberikan saingan kompetitif kepada JDT.
Katanya, Negeri Sembilan memiliki pemain berkualiti dan pantas terutama di bahagian serangan.
“Pasukan lawan ada pemain yang solid. Jika diberi peluang sudah pasti mereka juga akan menjaringkan gol dan ia akan memberi tekanan kepada kita,” ujarnya.






