Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran Penampang tingkat usaha jaga lanskap kawasan awam

LocalEnvironment
28 Aug 2026 • 3:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Perbandaran Penampang tingkat usaha jaga lanskap kawasan awam

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Perbandaran Penampang (MPP) akan mempergiat usaha menyelenggara tumbuhan hijau liar yang tumbuh di kawasan umum di bawah bidang kuasa masing-masing termasuk di Ujana Kingfisher dan kawasan Koidupan.

Sementara itu seorang pemilik rumah di Papar berharap Majlis Daerah turut mengambil langkah sama dalam memastikan rizab jalan dan longkang di sekitar Taman Villa Intan diselenggara dengan baik.

PEKERJA kontraktor Majlis Perbandaran menjalankan kerja-kerja memotong rumput di pembahagi jalan di kawasan Koidupan.

Perkara itu susulan maklum balas daripada tiga pembayar cukai yang tidak berpuas hati dengan keadaan penyelenggaraan bahu jalan di lokasi masing-masing.

Ketiga-tiga individu berkenaan memberikan butiran berkaitan aduan mereka kepada Hotline, yang kemudiannya disalurkan kepada agensi berkaitan.

Jurucakap Jabatan Landskap DBKK berkata pemeriksaan telah dijalankan di Lorong Ujana 3, tidak lama selepas pihaknya dihubungi media.

“Kami difahamkan bahawa seorang pemilik rumah di sini mendapati usaha kami menyelenggara rizab longkang di belakang premisnya kurang memuaskan.

   “Menurutnya pekerja agensi berkenaan datang dan beredar dengan begitu cepat sehingga hanya beberapa sentimeter bahagian atas rumput dipotong.

“Selain itu katanya pokok ubi liar dan tumbuhan renek lain yang tumbuh di tepi longkang dibiarkan begitu sahaja menyebabkan kawasan berkenaan kelihatan tidak terurus,” katanya.

Jurucakap itu berkata kakitangan Jabatan Landskap yang pergi ke premis berkenaan mengesahkan bahawa pemerhatian penduduk tersebut bukanlah tidak berasas sepenuhnya.

Beliau berkata pasukan terdiri daripada enam pekerja kembali beberapa hari kemudian untuk membersihkan rumput dan rumpai yang tumbuh di bahagian rizab longkang yang tidak disimen.

KAWASAN umum di sekitar Taman Intan Villa dipenuhi tumbuhan yang tumbuh terlalu panjang sehingga kelihatan seolah-olah sebuah hutan kecil terbentuk di kawasan perumahan itu.“Sisa potongan kemudiannya dimuatkan ke dalam lori terbuka yang dihantar bagi membantu kerja-kerja berkenaan,” ujarnya.

Apabila ditanya mengenai kekerapan rumput di sekitar Ujana Kingfisher dipotong, jurucakap itu berkata kerja berkenaan dilakukan setiap bulan.

“Bagaimanapun susulan maklum balas daripada pembayar cukai berkenaan, kami telah meminta kakitangan membuat pemeriksaan berkala di kawasan umum di sini dan menangani sebarang masalah yang dikenal pasti sewajarnya.

“Langkah ini banyak membantu memastikan rizab jalan dan longkang sentiasa berada dalam keadaan teratur dan memuaskan,” jelasnya.

Kakitangan Majlis Perbandaran Penampang dan Majlis Daerah Papar turut diminta supaya memberi perhatian sama terhadap keadaan rumput di sekitar Koidupan dan Taman Villa Intan.

Tindakan itu diambil susulan kebimbangan mengenai risiko terhadap kesihatan dan keselamatan akibat keadaan tanah kerajaan yang tidak diselenggara di kawasan berkenaan.

Seorang pengusaha kedai di Koidupan bimbang keadaan tersebut boleh mencetuskan wabak denggi di deretan kedai di situ terutama sekiranya nyamuk Aedes mula membiak di dalam takungan air hujan yang terperangkap di celah rumput panjang di bahu jalan.

Rakannya di Papar pula mempunyai alasan kukuh untuk percaya bahawa reptilia berbahaya mungkin turut bersarang di celah rumput yang tidak terurus di sekitar kawasan kejiranan itu selepas ternampak seekor ular merayap melalui rimbunan tumbuhan berhampiran kediamannya.

Beliau berkata Majlis Daerah sudah terlalu lama tidak menjalankan kerja pemotongan rumput sehingga kawasan umum di sekitar perumahan itu kelihatan seperti sebuah “hutan”.

Pemilik rumah itu berkata, sebahagian jirannya sudah bosan menunggu pihak berkuasa mengambil tindakan sehingga mereka terpaksa memotong sendiri tumbuhan yang tumbuh meliar di kawasan berkenaan.

Jurucakap Majlis Perbandaran Penampang berkata, kakitangan Bahagian Perkhidmatan Bandar telah pergi ke kawasan Koidupan selepas kebimbangan pemilik premis itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Mereka mendapati rumput di beberapa bahu jalan, termasuk di kedua-dua belah Jalan Penampang Baru, sudah panjang,” katanya.

Beliau berkata kontraktor agensi berkenaan telah dimaklumkan mengenai hasil pemeriksaan tersebut.

“Tiga pekerja pemotong rumputnya menjalankan kerja di pembahagi jalan dan bahu jalan di kawasan perbandaran ini kurang seminggu kemudian,” ujarnya.

Jurucakap itu berkata kawasan berumput di Koidupan diselenggara sebulan sekali mengikut jadual yang ditetapkan.

Bagi Taman Intan Villa, jurucakap Majlis Daerah Papar berkata, pihaknya perlu mengesahkan terlebih dahulu dakwaan yang dikemukakan pembayar cukai berkenaan.

“Sekiranya dakwaannya didapati benar, tindakan akan diambil untuk menyelenggara tumbuhan yang sudah tumbuh terlalu panjang di kawasan umum di situ.

“Kami juga perlu mengenal pasti punca yang menyebabkan perkhidmatan pemotongan rumput di kawasan perumahan itu tidak dilaksanakan,” maklumnya.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai kekerapan kerja penyelenggaraan dilakukan di rizab jalan dan longkang di sekitar kawasan perumahan berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved