SHAH ALAM – Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor menyangkal dakwaan segelintir pemimpin politik yang mendakwa titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Dewan di-Raja Selangor menegaskan titah baginda sempena pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 20 April lalu adalah selari dengan konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.
Menurut kenyataan itu, titah Sultan bukan bersifat campur tangan, sebaliknya merupakan nasihat bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
"Titah Sultan Selangor adalah bagi memastikan setiap tindakan kerajaan negeri bertepatan dengan kehendak undang-undang selain mengambil kira kepentingan dan kesejahteraan rakyat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office di sini pada Rabu.
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu berunding dengan Sultan Selangor dalam hal ehwal pentadbiran melibatkan kebajikan rakyat.
"Rundingan ini bermaksud baginda berhak diberi sembah maklum mengenai urusan pentadbiran negeri bagi membolehkan baginda memahami situasi sebenar serta menzahirkan pandangan sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan," jelasnya.
Menurut Dewan di-Raja, nasihat dan teguran Sultan Selangor adalah berasaskan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi mana-mana kepentingan politik, selain menekankan tindakan berkesan berbanding janji kosong dalam menyelesaikan isu rakyat.
Dalam pada itu, Dewan di-Raja memaklumkan Sultan Selangor juga sering menerima aduan terus daripada rakyat berkaitan pelbagai masalah termasuk banjir, kutipan sampah dan jalan berlubang.
"Aduan yang diterima bukan bersifat anonim kerana pengadu menyertakan maklumat diri lengkap, menunjukkan mereka benar-benar mengharapkan perhatian baginda terhadap masalah yang dihadapi," tambah kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan prinsip Raja Berperlembagaan, Sultan tidak bertindak sebagai ‘rubber stamp’ semata-mata, sebaliknya memainkan peranan semak dan imbang terhadap pihak eksekutif.
Ahli-Ahli Dewan di-Raja turut menzahirkan keyakinan terhadap kebijaksanaan Sultan Selangor yang mempunyai pengalaman luas, termasuk 25 tahun sebagai Sultan dan 33 tahun sebagai Raja Muda dalam melaksanakan tanggungjawab selaras dengan undang-undang serta sistem pemerintahan negara.
"Sultan Selangor amat memahami dan mendalami peranan baginda mengikut undang-undang selaras dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan," tambah kenyataan itu.






