Kenyataan sifar miskin tegar tidak tepat – Sultan Selangor

LocalPolitics
6 May 2026 • 4:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kenyataan sifar miskin tegar tidak tepat – Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah. Foto Bernama

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan masih terdapat golongan fakir dan miskin di negeri ini walaupun wujud dakwaan kononnya kemiskinan tegar telah dihapuskan sepenuhnya.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda tidak mahu masyarakat keliru atau tersalah tafsir sehingga menganggap tiada lagi individu memerlukan bantuan zakat di Selangor.

Baginda bertitah, data terbaharu Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) pada tahun lalu menunjukkan agihan zakat mencecah RM1.33 bilion disokong kutipan RM1.31 bilion.

"Namun, di sebalik pencapaian itu, terdapat pertambahan kira-kira 14,000 keluarga baharu dalam kategori fakir dan miskin di negeri ini," tulis kenyataan itu pada Rabu.

Menurut baginda, status asnaf ditentukan berdasarkan pengiraan had kifayah yang diguna pakai Zakat Selangor sekali gus menzahirkan realiti sebenar masih wujud golongan memerlukan bantuan.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan sekiranya pembayar zakat beranggapan tiada lagi fakir miskin berpotensi menjejaskan kutipan zakat pada masa akan datang.

"Daripada keseluruhan agihan tahun lalu, lebih 60 peratus disalurkan khusus kepada golongan fakir dan miskin melibatkan lebih 75,000 keluarga di seluruh Selangor.

"Dalam masa sama, lebih 2,800 keluarga berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan hasil pelbagai intervensi berterusan dilaksanakan," jelas kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan, Sultan Selangor bertitah keutamaan agihan terus diberikan kepada keperluan asas termasuk bantuan kewangan bulanan, makanan, perumahan serta sokongan pendidikan.

Selain itu, baginda berharap Zakat Selangor terus melaksanakan amanah kutipan dan agihan secara telus, berintegriti serta menepati tuntutan syariat Islam.

Media pada 29 April lalu melaporkan, isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan yang berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya dalam Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling yang dipengerusikan beliau di Shah Alam, Selangor.