Di mana jejak hampir 77,000 tan Kargo K8 Tanjung Langsat?

LocalBusiness & Finance
28 Aug 2026 • 1:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Di mana jejak hampir 77,000 tan Kargo K8 Tanjung Langsat?

ISU pengendalian kargo petroleum di bawah pengikraran K8 di Tanjung Langsat sebelum ini banyak tertumpu kepada persoalan sama ada pencampuran kargo dibenarkan serta bagaimana dokumentasi dan cukainya perlu dikendalikan.

Namun, laporan 18 muka surat disediakan Maritime Network Sdn. Bhd. bertarikh 24 Ogos mendakwa dua penghantaran Atlanta Crude berjumlah hampir 77,000 tan metrik telah dipunggah ke beberapa tangki yang mempunyai inventori sedia ada sebelum kargo berkenaan dimasukkan.

Laporan itu mendakwa penghantaran pertama melibatkan 34,903.062 tan metrik Atlanta Crude daripada MT Marlin Santorini pada Januari, manakala 42,051.263 tan metrik lagi dibawa MT Invictus pada Mac, menjadikan keseluruhannya 76,954.325 tan metrik.

Dakwaan yang lebih penting bukan semata-mata mengenai jumlah kargo itu. Rekod pengukuran tangki yang dirujuk dalam laporan didakwa menunjukkan terdapat stok sedia ada dalam beberapa tangki sebelum pemunggahan kedua-dua kargo berkenaan.

Bagi MT Marlin Santorini, laporan mendakwa kargo dipunggah melalui beberapa tangki termasuk T-5001, T-5008, T-5006, T-5004 dan T-5005, dengan rekod menunjukkan baki inventori sebelum tambahan kargo direkodkan.

Laporan itu turut mendakwa corak hampir sama berlaku bagi kargo MT Invictus yang dipunggah menerusi T-5001, T-5011, T-5008, T-5004 dan T-5002, dengan rekod pengukuran juga menunjukkan inventori sedia ada.

K8 ialah pengikraran kastam bagi barangan, termasuk kargo minyak, yang dibawa masuk ke Malaysia secara sementara untuk tujuan transshipment dan bukan untuk dijual atau digunakan dalam negara.

Berdasarkan dokumen yang dirujuk dalam laporan, bahan yang didakwa berada dalam tangki berkenaan termasuk Low Sulphur Waxy Residue, Decant Oil, Slurry Oil dan Crude Oil, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebolehkesanan kargo selepas pemunggahan.

Laporan itu juga mendakwa terdapat perbezaan antara beberapa tangki yang disenaraikan dalam pengikraran K8 dengan tangki yang muncul dalam rekod pengukuran. Dokumen K8 yang dirujuk dilaporkan menyenaraikan T-5001, T-5004 dan T-5008.

Perbezaan yang didakwa itu tidak dengan sendirinya membuktikan berlaku sebarang kesalahan. Mungkin terdapat pindaan pengikraran, kelulusan atau dokumen sokongan lain yang tidak terkandung dalam bahan yang diteliti dan perkara itu hanya boleh diperjelaskan pihak berkuasa serta syarikat berkaitan.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana hampir 77,000 tan kargo yang didakwa itu dijejaki daripada kapal kepada tangki dan seterusnya selepas dipunggah ke tangki yang menurut laporan sudah mengandungi inventori produk petroleum lain.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dilaporkan memaklumkan semakannya tidak menemukan asas kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 atau ketirisan hasil kerajaan setakat penelitian dilakukan. Bagaimanapun, dapatan itu tidak semestinya menjawab persoalan kawal selia mengenai pengendalian dan kebolehkesanan kargo di bawah pengikraran K8.

Jika kargo K8 dibenarkan dipunggah ke tangki yang sudah mengandungi produk lain, Jabatan Kastam Diraja Malaysia wajar menjelaskan syarat yang terpakai serta bagaimana kuantiti, identiti, klasifikasi dan status cukai setiap kargo dapat terus dijejaki.

Dialog Terminals Langsat, Shell dan Trafigura juga wajar diberi ruang menjawab dakwaan berhubung rekod operasi serta dokumentasi kedua-dua penghantaran itu, termasuk sebarang kelulusan atau pindaan yang boleh menjelaskan perbezaan antara pengikraran dan rekod tangki.

Dakwaan ini tidak seharusnya dianggap sebagai penentuan bahawa mana-mana pihak melakukan kesalahan. Namun, apabila laporan mengemukakan nama kapal, jumlah kargo, nombor tangki dan rekod inventori sebelum pemunggahan, pihak berkuasa serta syarikat berkaitan wajar memberikan penjelasan yang sama khusus dan telus.-UTUSAN

DATUK SERI M. JEYENDERAN
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn. Bhd.

 

The post Di mana jejak hampir 77,000 tan Kargo K8 Tanjung Langsat? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved