
KUALA LUMPUR: Seorang pemain industri maritim kesl kerana masih belum menerima penjelasan atau penetapan rasmi daripada agensi kerajaan berkaitan berhubung isu pengendalian kargo petroleum yang diisytiharkan di bawah K8.
Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, pihaknya sudah berusaha mendapatkan penjelasan daripada pelbagai agensi, jabatan dan kementerian sejak 27 April hingga 20 Ogos lalu, namun belum menerima sebarang keputusan rasmi.
Menurutnya, antara perkara yang masih memerlukan penetapan ialah sama ada kargo petroleum di bawah deklarasi K8 boleh disimpan dalam tangki pantai yang dikongsi, sama ada kargo berkenaan boleh dicampur atau digabungkan, serta sama ada jenis deklarasi yang digunakan adalah betul.
“Pada penelitian pihak kami, perkara ini amat serius dan memerlukan respons serta-merta daripada kerajaan yang menanggung kerugian daripada aktiviti ini,” katanya yang juga ketua pegawai eksekutif Maritime Network Sdn Bhd dalam kenyataan.
Jeyenderan mendakwa lebih mengecewakan pihaknya pula seolah-olah dipersalahkan dalam isu berkenaan, walaupun telah mengumpulkan maklumat dan dokumen berkaitan sebelum menyerahkannya kepada pihak bertanggungjawab atas risiko perniagaan sendiri.
Katanya, ketiadaan penetapan rasmi turut menyebabkan mereka berdepan risiko operasi, kewangan dan perundangan, selain kehilangan peluang perniagaan.
“Kami menjalankan perniagaan dan tidak mampu menanggung risiko lesen dibatalkan ataupun risiko kewangan dan perundangan seperti dinyatakan dalam Seksyen 35J(4) Akta Kastam 1967, selain kerugian perniagaan akibat kecuaian dan kelalaian pihak terlibat,” katanya.

Jeyenderan berkata, sebagai sebuah agensi perkapalan Malaysia, syarikatnya telah menjalankan tanggungjawabnya dengan melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa dan berhak mendapatkan penjelasan yang tepat serta menyeluruh.
Menurutnya, syarikat itu bersedia menyerahkan laporan berkaitan pemunggahan dan penyimpanan kargo terbabit, termasuk rekod jumlah kargo, tangki yang digunakan serta inventori sedia ada sebelum proses pemunggahan.
“Saya akan mendedahkan laporan berkaitan kargo ini supaya semua pihak dapat meneliti fakta dan rekod sebenar serta perkara ini dapat disiasat secara menyeluruh,” katanya.
Sebelum ini, Jeyenderan dilaporkan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada SPRM mengenai laporan itu.-UTUSAN
The post Isu kargo K8: Pemain industri kecewa tiada penjelasan rasmi appeared first on Utusan Malaysia.






