TRADISI Aidilfitri bukan sahaja tentang membeli baju baharu, menyediakan kuih raya atau menghias rumah.
Bagi anak perantau, satu lagi perkara yang sudah menjadi sebahagian tradisi setiap kali menjelang lebaran ialah waktu perjalanan pulang ke kampung yang panjang disebabkan kesesakan lalu lintas.
Kesesakan di lebuh raya menjelang raya seolah-olah sudah menjadi ‘ritual tahunan’ yang tidak dapat dipisahkan daripada suasana perayaan. Kini, tinggal satu hari lagi untuk menyambut Hari Raya Puasa dan sudah pasti ramai berasa teruja.
Suasana raya semakin terasa apabila hampir 100 persiapan dibuat. Baju raya, kuih-muih, duit raya untuk sanak saudara serta pelbagai keperluan lain sudah pasti tersedia.
Malah, pengumuman kerajaan menambah cuti sempena juga memberikan rasa gembira.
Apabila cuti sekolah bermula lebih awal, ramai mengambil peluang merancang perjalanan pulang ke kampung lebih awal daripada biasa.
Perancangan ini penting bagi mengelakkan kesesakan teruk di jalan utama, sekali gus menjadikan perjalanan lebih tenang bersama keluarga.
Bagi penulis sendiri yang lahir di Pantai Timur dan mula merantau sejak usia 19 tahun, perjalanan balik kampung setiap kali raya sudah menjadi satu pengalaman cukup biasa.
Sejak mula merantau, kesesakan jalan raya musim raya sudah dijangka lebih awal. Walaupun tahu perjalanan mungkin mengambil masa lama, hal itu langsung tidak mematahkan semangat pulang menyambut lebaran bersama keluarga.
Laluan seperti Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sering menjadi laluan utama bagi perantau yang menuju ke Pantai Timur.
Setiap kali musim perayaan, laluan ini akan dipenuhi kenderaan bergerak perlahan menuju ke arah sama.
Namun, bagi perantau, perjalanan yang panjang itu sebenarnya sudah menjadi sebahagian ‘vibe raya’ sukar dipisahkan.
Penulis sendiri pernah melalui perjalanan sehingga 15 hingga 20 jam akibat kesesakan teruk. Walaupun tidak pernah berdepan situasi kereta mengalami masalah, penulis percaya terdapat banyak kenderaan yang pulang ke kampung pasti pernah mengalami pengalaman tersebut.
Oleh sebab itu, perancangan perjalanan sangat penting, terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil. Pastikan stok makanan dan air minuman mencukupi di dalam kereta, selain membawa bekalan tambahan kerana bimbang kawasan hentian rehat terlalu sesak.
Persediaan seperti ini penting sekiranya perjalanan mengambil masa yang panjang. Di samping itu, pemeriksaan kenderaan juga tidak boleh diabaikan.
Pastikan tayar, enjin, minyak dan sistem penyejukan kereta berada dalam keadaan baik supaya perjalanan lebih selamat. Tiada siapa yang mahu kenderaan tersadai di tepi jalan ketika musim perayaan.
Bagi membantu merancang perjalanan, ramai pemandu kini menggunakan aplikasi seperti Waze atau Google Maps untuk menyemak keadaan trafik lebih awal.
Dengan cara ini, pemandu boleh mengetahui laluan yang bakal dilalui serta memilih masa perjalanan yang lebih sesuai.
Akhirnya, walaupun perjalanan pulang ke kampung mungkin panjang dan dipenuhi kesesakan, ia tetap menjadi pengalaman yang dinanti-nantikan setiap tahun.
Apabila tiba di rumah dan disambut oleh keluarga tercinta, segala penat lelah sepanjang perjalanan terasa hilang begitu sahaja.
*Roskhoirah Yahya ialah wartawan Sinar Harian

