“Dia ada penyakit tiroid” – Buat Hantaran Jelik, Adeline Chang Didenda RM7,000

Entertainment
24 Oct 2024 • 3:30 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang wanita yang meraih perhatian di media sosial sejak belakangan ini yang dikenali sebagai Adeline Chang didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang sebentar tadi.

Adeline Chang atau nama sebenarnya Chang Pei Yi, 24, mengaku bersalah memulakan penghantaran komunikasi jelik melibatkan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, pada Mei lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman yang menjatuhkan hukuman berkata, perbuatan Adeline selaku Orang Kena Saman (OKS) telah menyebabkan maruah kanak-kanak dan keluarganya tercalar.

Ahmad Fuad turut menasihatkan OKS supaya tidak memanjangkan isu peribadi sehingga memberi kesan jangka panjang kepada orang lain yang tidak berdosa yang mana dalam kes ini adalah kanak-kanak berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Adeline didakwa memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar berserta teks dalam bahasa Mandarin yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 30 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, dia membuat hantaran jelik itu berikutan mempunyai perselisihan faham dengan ibu kanak-kanak itu yang dikatakan tidak membayar hutang.

@utusantvofficial

24 OKT 24: Hakim Ahmad Fuad Othman memutuskan demikian selepas Chang Pei Yi, 24, selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah sejurus pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Mandarin terhadapnya. UtusanTV. #AdelineChang #AliceChang #trendingnewsmalaysia #fyp #beritaditiktok

♬ original sound – UtusanTV – UtusanTV

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, peguam bela, Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili OKS memohon mahkamah agar mengenakan hukuman ringan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bergantung kepada pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 hasil review barangan dalam talian.

“Anak guam juga mempunyai penyakit tiroid dan kini menerima kaunseling berkala untuk rawatan psikologinya,” katanya.

Pun begitu, pendakwa mencadangkan supaya satu hukuman yang setimpal dikenakan terhadap wanita terbabit kerana kesalahan yang dilakukan tidak boleh dipandang remeh, berikutan melibatkan maruah seorang kanak-kanak dengan dakwaan kurang sopan.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.