'Wajah adik putih berseri'

13 Apr 2026 • 4:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Wajah adik putih berseri'
Nur Fatimatul Zahra menunjukkan gambar arwah adiknya, Nur Fatimatul Hawa ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gayong, Kota Bharu pada Isnin.
Image from: 'Wajah adik putih berseri'
Zuraifah (kanan) melayan sanak saudara yang datang ke rumah di Kampung Gayong, Kota Bharu pada Isnin.

KOTA BHARU - "Semasa bersiap untuk ke sekolah, saya terpandang wajah adik kelihatan putih berseri. Saya rasa pelik namun tidak diluahkan, terasa berat mulut ini."

Demikian kata kakak kepada Allahyarham Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, yang maut dirempuh kereta dipandu seorang guru semasa memakai kasut di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini pada Ahad.

Nur Fatimatul Zahra, 16, berkata, dia serta ibu saudaranya, Zuraifah Noor, 43, juga berasa pelik apabila melihat pakaian seragam sekolah dipakai arwah putih berseri tidak seperti biasa.

"Biasanya tidak seputih pada hari kejadian, dan ibu saudara yang menggosok baju itu pun perasan.

"Arwah seorang adik yang baik dan pemurah. Duit sekolah biasanya Hawa tidak belanjakan tetapi dikumpul. Kemudian dia akan belanja kami adik-beradik makan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gayong di sini pada Isnin.

**media[3490264]**

Sementara itu, Zuraifah memberitahu, pada hari kejadian, Nur Fatimatul Hawa bangun awal dan siap memakai uniform sekolah pada jam 6.45 pagi.

"Biasanya dia yang paling lambat, tapi semalam dia bersiap paling awal.

"Itu sahaja perubahan yang saya sedar. Kerana dia tidak pernah bersiap awal ke sekolah, biasanya saya terpaksa tunggu dia untuk ke sekolah setiap hari," katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Nur Fatimatul Hawa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gayong di sini jam 9.30 malam Ahad.