'Saya maafkan, serah pada polis' - Bapa pelajar maut dilanggar reda takdir, kakak mahu Fatimatul Hawa jumpa umi di syurga

LocalFamily & Parenting
13 Apr 2026 • 6:18 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Saya maafkan, serah pada polis' - Bapa pelajar maut dilanggar reda takdir, kakak mahu Fatimatul Hawa jumpa umi di syurga

PEMERGIAN anak ketiga, Allahyarham Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, pada Ahad lalu merupakan kehilangan besar buat bapa, Mohd Azaudin Abdullah, 43. 

Meninggal dunia selepas dilanggar kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan surau sekolah, bapa kepada empat orang anak itu reda bagaimanapun memberitahu, selebihnya dia menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Image from: 'Saya maafkan, serah pada polis' - Bapa pelajar maut dilanggar reda takdir, kakak mahu Fatimatul Hawa jumpa umi di syurga

"Sebagai bapa, saya maafkan guru berkenaan.

"Saya juga reda dengan takdir yang menimpa anak saya," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Terdahulu, ketika kemalangan dia berada di tempat kerja sebelum dihubungi adik iparnya sambil menangis dan meminta dia ke sekolah berkenaan.

“Setibanya saya di sana saya melihat anak sudah terbaring kaku dan ditempatkan di surau. Ketika itu saya sangat terkejut dan tergamam melihat jenazah anak," ujarnya. 

Image from: 'Saya maafkan, serah pada polis' - Bapa pelajar maut dilanggar reda takdir, kakak mahu Fatimatul Hawa jumpa umi di syurga

Jelas Mohd Azaudin, dia yang sempat bertanya siapa melanggar anak ketiganya dan guru berkenaan mengaku.

"Saya hanya berdiam diri," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azaudin sempat berkongsi walaupun arwah tinggal bersama ibu saudara, hubungan tetap rapat.

Sejak kematian isteri, mereka sekeluarga akan berjumpa dua kali seminggu di rumah Zuraifah.

“Arwah ialah anak ketiga dan kesemua anak saya tinggal bersama adik ipar selepas kematian isteri sejak lima tahun lalu,” katanya.

Image from: 'Saya maafkan, serah pada polis' - Bapa pelajar maut dilanggar reda takdir, kakak mahu Fatimatul Hawa jumpa umi di syurga

Ternyata hubungan Allahyarham dan adik beradiknya sangat akrab. Kakaknya, Nur Fatimatul Zahra, 16, sempat berkongsi luahan sayu kehilangan Nur Fatimatul Zahra.

"Al-Fatihah buat adik kakak. Semoga tenang di sana adik kakak. Kakak sayang adik.

"Adik sudah boleh jumpa umi di syurga. Nanti kakak tengok rumah baharu adik," titipnya di TikTok.

Sementara itu, abang Allahyarham, Muhammad Ali Mustaqim, 15, yang belajar di sekolah yang sama, SMK Tanjong Mas hanya mengetahui tragedi menimpa adiknya selesai menunaikan solat Zohor.

“Saya berada di luar sekolah sambil menunggu rakan untuk pulang bersama.

“Kemudian ada rakan datang beritahu adik dilanggar sebuah kereta di depan surau sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Jelas Muhammad Ali, dia terus memeluk jenazah Allahyarham yang ketika itu terbujur kaku bahagian tangga surau.

Ujarnya, dia dimaklumkan kereta yang melanggar adiknya itu diparkir di hadapan surau berkenaan.

Warganet yang rata-rata bersimpati dengan pemergian Allahyarham dalam keadaan tragis.

Terdahulu, ibu saudara Allahyarham,  Zuraifah Noor, 43, memaafkan guru terbabit namun tidak mengizinkan wanita itu dan keluarganya datang ke rumah yang sedang dalam tempoh bertenang.

Jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gayong di sini jam 9.30 malam pada Ahad.

Guru terbabit kini direman selama dua hari bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian, TikTok