Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat ditemukan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan parah pada muka dan badan di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor, kelmarin.
Mangsa, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, ditemukan dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di dalam dewan sekolah kira-kira pukul 5.30 petang ketika ahli keluarga serta rakan-rakannya menjalankan usaha mencari remaja berkenaan.
AdvertisementMangsa dipercayai mengalami kecederaan akibat hentakan objek keras, namun perkara itu masih dalam siasatan polis.

Walaupun cinta tidak berbalas dipercayai menjadi antara kemungkinan yang dikaitkan dengan kejadian, pihak polis setakat ini memaklumkan motif sebenar masih dalam siasatan.
Tidak berminat bercinta, mahu fokus pelajaran
Menurut ibu saudara mangsa, Siti Nur Faeza Khyar, 45, Irene Sofiya atau lebih mesra dipanggil Fiya merupakan seorang pelajar yang sangat mementingkan pelajaran.
Allahyarham juga dikatakan tidak berminat untuk mempunyai teman lelaki ketika masih bersekolah kerana mahu memberi tumpuan kepada pendidikan serta mengejar impiannya untuk menjadi seorang doktor pakar.
“Dia sangat mementingkan pelajaran dan mahu berjaya dalam hidup. Cita-citanya mahu menjadi doktor seperti arwah ibunya. Dia pernah bertanya doktor apa sesuai untuknya.
“Berdasarkan apa yang kami tahu, dia tidak berminat untuk mempunyai teman lelaki ketika masih bersekolah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Parit Selamat.
Menurut Nur Faeza, Allahyarham turut bercita-cita mengikut jejak langkah arwah ibunya yang meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu.
Pelajar cemerlang, berpotensi dapat 9A SPM
Tambahnya, Irene Sofiya merupakan seorang yang pendiam dan rajin mengulang kaji pelajaran selain sering memperoleh keputusan cemerlang di sekolah.
“Kalau ada peperiksaan, Fiya akan mendapat tempat pertama atau kedua dalam tingkatan. Dia juga berpotensi memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Fiya adalah antara pelajar harapan keluarga dan sekolah,” katanya.
Rakan datang ke rumah selepas mangsa tidak kelihatan
Mengimbas semula kejadian, Nur Faeza berkata rakan sekelas mangsa datang ke rumah nenek Irene Sofiya selepas menyedari remaja itu tidak berada di sekolah.
Mereka turut menemukan motosikal milik mangsa di sebuah kedai berhadapan sekolah sehingga menimbulkan rasa tidak sedap hati.
“Rakan-rakannya mula berasa tidak sedap hati sebelum saya bersama nenek dan beberapa rakan sekelasnya ke sekolah untuk mencari Irene Sofiya.
“Kami mencari di seluruh kawasan sekolah sebelum akhirnya menemui Irene Sofiya dalam keadaan terlentang di dalam sebuah dewan,” katanya.
Menurutnya, rakan-rakan yang menemukan mangsa menjerit selepas melihat Irene Sofiya berlumuran darah, namun ketika itu mangsa dikatakan masih bergerak dalam keadaan lemah.
Nur Faeza turut berkongsi pemerhatian keluarga terhadap keadaan mangsa ketika ditemukan.
“Daripada keadaan pakaiannya, kami mendapati tudung yang dipakainya seperti disentap dari belakang ketika dia cuba melarikan diri sebelum kepalanya dihentak menggunakan objek keras,” katanya.
Bagaimanapun, gambaran berhubung bagaimana serangan itu berlaku merupakan berdasarkan pemerhatian serta maklumat yang diterima keluarga dan masih tertakluk kepada siasatan pihak polis.
Suspek berusia 16 tahun direman
Menurut Nur Faeza, berdasarkan maklumat yang diterima daripada rakan-rakan sekelas, individu yang direman polis bagi membantu siasatan juga berusia 16 tahun.
Dia mengakui masih sukar menerima kejadian yang menimpa anak saudaranya.
“Saya tidak dapat membayangkan kesakitan dan kesengsaraan yang dia tanggung sebelum kami menemuinya. Bayangkan dia berada dalam kesakitan dengan berlumuran darah, namun tiada siapa tahu keadaannya ketika itu.
“Kami tidak pernah menyangka perkara sekejam ini boleh berlaku kepada anak saudara saya,” katanya.
Polis rampas telefon bimbit, beg, pakaian dan selipar
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar berkenaan.
Suspek ditahan kira-kira pukul 7 malam kelmarin di sekitar Pekan Yong Peng selepas pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah beg, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut Ab. Rahaman, mangsa dipercayai mengalami kecederaan akibat dihentak menggunakan objek keras, namun punca serta keadaan sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Proses bedah siasat terhadap mayat mangsa dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

Penceramah Motivasi Direman Dua Hari, Disiasat Susulan Dakwaan Gangguan Seksual Membabitkan Mangsa Bawah Umur
The post “Dia Tak Berminat Bercinta, Nak Fokus Pelajaran” – Polis Dedah Punca Kematian Irene Sofiya first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





