Dialog Group raih kontrak naik taraf kapasiti simpanan minyak mentah di Singapura

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 4:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dialog Group raih kontrak naik taraf kapasiti simpanan minyak mentah di Singapura Image from: Dialog Group raih kontrak naik taraf kapasiti simpanan minyak mentah di Singapura hamden01/09/2026 - 16:26 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 Sept - Dialog Group Bhd memperoleh kontrak untuk menaik taraf dan memperluaskan kemudahan tangki penyimpanan minyak mentah di Pulau Bukom, Singapura, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen terminal tenaga serantau.

 

Dalam kenyataan bersama pada Selasa, Aster sebahagian daripada Chandra Asri Group dari Indonesia berkata, Dialog dan PEC Pte Ltd, syarikat berpangkalan di Singapura yang mengkhusus dalam kejuruteraan loji dan terminal, dipilih melalui proses persaingan bagi melaksanakan kerja berkenaan.

 

Bagaimanapun, nilai kontrak serta skop kerja terperinci tidak didedahkan.

 

Projek itu akan meningkatkan kapasiti penyimpanan minyak mentah di Pulau Bukom sebanyak lebih 1.3 juta tong, dengan Dialog dipilih berdasarkan pengalaman luasnya dalam memiliki dan mengendalikan terminal pertengahan (midstream) di rantau ini.

 

PEC pula mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan loji dan terminal di Singapura sejak 1982.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Aster, Andre Khor berkata, syarikat itu mempunyai kedudukan infrastruktur yang unik di Singapura, dibangunkan sepanjang lebih 60 tahun, dan berhasrat membuka potensi penuhnya.

 

Naik taraf berkenaan merupakan pelaburan utama pertama selepas pelancaran rasmi Aster Port & Terminals, perniagaan penyimpanan dan logistik baharu yang menghimpunkan infrastruktur marin, terminal dan penyimpanan Aster di Singapura.

 

Platform itu merangkumi 13 jeti marin di Pulau Bukom dan Pulau Ular, kapasiti penyimpanan tangki sehingga 4.3 juta meter padu, serta kemudahan Single Buoy Mooring (SBM) yang mampu menerima kapal pengangkut minyak mentah sangat besar (VLCC) dengan muatan sehingga dua juta tong.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kejuruteraan, Pembinaan dan Penyelenggaraan Dialog, Bryan Tan berkata kumpulan itu berbangga dapat menyokong Aster Port & Terminals dalam memperbaharui infrastruktur tangki dan membuka kapasiti penyimpanan tambahan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved