amree28/08/2026 - 16:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kerjaya Prospek Group Berhad mencatatkan nilai kontrak baharu melepasi rekod RM2.4 bilion setakat ini bagi 2026, dengan buku tempahan belum disiapkan naik kepada RM5 bilion.
Momentum itu turut menyaksikan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2026 (1HFY2026) meningkat kira-kira 23.4% kepada RM124 juta.
Hasil bagi tempoh tersebut mencecah RM849.9 juta, dengan segmen pembinaan kekal sebagai penyumbang utama apabila menjana RM733.6 juta, manakala segmen pembangunan hartanah menjana RM115.4 juta.
"Pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), PATAMI meningkat 22.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM66.7 juta, manakala hasil direkodkan pada RM403.1 juta," maklum Kerjaya Prospek kepada bursa.
Segmen pembinaan menyumbang 88.1% daripada jumlah hasil pada suku tersebut, sementara perniagaan pembangunan hartanah terus disokong sumbangan projek The Vue @ Monterez dan Papyrus @ North Kiara.
Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat iaitu 3.5 sen sesaham, dengan jumlah dividen yang diumumkan setakat ini bagi 1HFY26 sebanyak 7 sen sesaham atau RM87.8 juta.

Jumlah tersebut ujar Kerjaya Prospek, bersamaan 70.8% daripada PATAMI, manakala berdasarkan harga saham semasa iaitu RM2.89, dividen selama 12 bulan terdahulu membayangkan hasil sebanyak 4.7%.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tee Eng Tiong berkata, prestasi 1HFY26 disokong daya tahan berterusan perniagaan pembinaan teras dan dibantu sumbangan positif menerusi segmen pembangunan hartanah.
"Kerjaya Prospek kekal memberi tumpuan terhadap pelaksanaan buku tempahan sedia ada, di samping mengembangkan perniagaan secara terpilih ke dalam bidang pertumbuhan tinggi," jelas beliau.
Dalam langkah pengukuhan pendedahan kepada bidang baharu, kumpulan itu baru-baru ini memperoleh 31% ekuiti ES Sunlogy Berhad bagi mengembangkan keupayaan dalam kejuruteraan mekanikal dan elektrikal.
Pelaburan strategik ini dijangka membolehkan kumpulan itu merebut peluang daripada peningkatan permintaan terhadap rumusan kejuruteraan dan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin pesat.
Selain itu, pemerolehan ini menyokong pertumbuhan Kerjaya Prospek yang kini disandarkan kepada buku tempahan mencecah RM5 bilion dan momentum kukuh perniagaan pembinaan. - DagangNews.com





