Jati Tinggi raih kontrak RM69 juta untuk bekalan kuasa pusat data di Banting

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 11:51 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jati Tinggi raih kontrak RM69 juta untuk bekalan kuasa pusat data di Banting Image from: Jati Tinggi raih kontrak RM69 juta untuk bekalan kuasa pusat data di Banting liza26/08/2026 - 11:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Jati Tinggi Group Berhad (JTGB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM69.16 juta bagi kerja bekalan kuasa sementara 33kV untuk sebuah pusat data di Banting Technology Park, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, JTGB berkata surat anugerah itu diterima pada 24 Ogos 2026 daripada sebuah syarikat yang terlibat dalam perundingan komputer, pemprosesan data serta penyediaan infrastruktur bagi pusat data.

 

“Kontrak berkenaan melibatkan pelaksanaan kerja sebagai kontraktor utama bagi reka bentuk, pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem bekalan kuasa 33kV sementara.

 

Skop Kerja Bekalan Kuasa Pusat Data

Skop kontrak merangkumi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi kabel bawah tanah 33kV serta reka bentuk dan pembinaan sebuah pencawang bergerak baharu 33/11kV.

 

Jati Tinggi Holding turut bertanggungjawab menyediakan sambungan kabel 11kV dari pencawang bergerak berkenaan ke dewan data di pusat tersebut.

 

Kerja lain termasuk pembekalan dan pemasangan kabel, saluran kabel, transformer berkapasiti 30MVA, kontena suis 11kV serta kiosk meter bagi bekalan masuk 33kV.

 

Kontrak itu juga meliputi kerja pengujian, pentauliahan dan penyerahan akhir sistem bagi membolehkan pusat data tersebut beroperasi secara komersial.

 

Kontrak Berkuat Kuasa Hingga November

Kontrak berkenaan berkuat kuasa mulai tarikh penerimaan surat anugerah dan akan tamat pada 26 November 2026.

 

Jati Tinggi Holding perlu menyediakan bon prestasi kepada pelanggan dalam tempoh dua minggu selepas kontrak dianugerahkan, bersamaan 5% daripada nilai kontrak.

 

Berdasarkan nilai kontrak RM69.16 juta, bon prestasi yang perlu disediakan adalah kira-kira RM3.46 juta.

 

Syarikat turut perlu mendapatkan perlindungan insurans berkaitan kerja berkenaan sebelum kontrak dimulakan, termasuk insurans semua risiko kontraktor dan pampasan pekerja.

 

Dijangka Sumbang Positif Kepada Keuntungan

Tempoh bayaran ditetapkan selama 45 hari selepas Jati Tinggi Holding mengemukakan invois asal bersama dokumen sokongan kepada pelanggan.

 

Kontrak itu turut menetapkan tempoh liabiliti kecacatan selama 24 bulan bermula dari tarikh yang dinyatakan dalam sijil siap kerja praktikal.

 

JTGB berkata kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada keuntungan, keuntungan sesaham dan aset bersih sesaham syarikat sepanjang tempoh kontrak.

 

Penerimaan kontrak itu bagaimanapun tidak memberi kesan kepada modal saham serta pegangan pemegang saham utama JTGB.

 

Lembaga pengarah JTGB berkata selepas mengambil kira semua aspek surat anugerah berkenaan, pihaknya berpendapat penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat.

 

JTGB turut berkata selain risiko operasi biasa berkaitan kontrak tersebut, lembaga pengarah tidak mengetahui sebarang faktor risiko lain yang mungkin timbul dalam perjalanan perniagaan biasa.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama JTGB atau pihak berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved