Southern Cable sasar kapasiti pengeluaran cecah 65,000 km menjelang 2027 - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2026 • 12:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Southern Cable sasar kapasiti pengeluaran cecah 65,000 km menjelang 2027 - Penganalisis Image from: Southern Cable sasar kapasiti pengeluaran cecah 65,000 km menjelang 2027 - Penganalisis hamden27/08/2026 - 12:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Southern Cable Group Bhd menyasarkan kapasiti pengeluaran kabel dan wayarnya meningkat kepada 65,000 kilometer (km) setahun menjelang akhir 2027, berbanding sekitar 54,980 km ketika ini, bagi memanfaatkan permintaan yang semakin kukuh daripada sektor utiliti tenaga, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pusat data.

 

JF Apex Securities berkata, pengembangan kapasiti itu dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan kumpulan dalam tempoh sederhana, selain disokong buku pesanan yang kukuh serta momentum eksport yang semakin meningkat, khususnya ke Amerika Syarikat (AS).

 

Penganalisis mengekalkan saranan 'Beli' terhadap Southern Cable dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM2.97 daripada RM2.57 sebelum ini, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 20 kali ke atas EPS FY27F sebanyak 14.9 sen.

 

Bagi 1QFY26, keuntungan bersih teras kumpulan meningkat 14% tahun ke tahun kepada RM33.2 juta, manakala hasil bertambah 10.7% kepada RM432.7 juta, didorong jumlah jualan kabel dan wayar kuasa yang lebih tinggi serta peningkatan jualan eksport.

 

Walaupun hasil merosot 14% suku ke suku berikutan hari operasi yang lebih rendah semasa cuti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya serta perubahan campuran produk, margin keuntungan bersih teras bertambah baik kepada 7.7% daripada 6.5% pada 4QFY25, dibantu perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah.

 

Pengembangan Kapasiti

Kumpulan juga memperkukuh integrasi menegak melalui pelaburan dalam kemudahan huluan, termasuk relau aluminium baharu yang telah siap dan kemudahan sebatian plastik.

 

Sementara itu, relau kuprum baharu dijangka ditauliahkan menjelang akhir 2026, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran rod kuprum kepada 24,000 tan setahun daripada 18,000 tan ketika ini.

 

Buku tempahan Southern Cable turut memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dalam tempoh akan datang.

 

Setakat 31 Mac 2026, buku tempahan kumpulan berjumlah RM924.9 juta, terdiri daripada lebih 50% kabel voltan rendah (LV), kira-kira 35% kabel voltan sederhana (MV) dan sekitar 6% kabel voltan tinggi (HV), manakala bakinya terdiri daripada kabel kawalan serta produk lain.

 

Buku tempahan itu memberikan keterlihatan pendapatan sehingga FY27 dan disokong kontrak daripada syarikat utiliti, kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta penjual semula.

 

Southern Cable sebelum ini memperoleh pesanan perubahan bernilai RM121.1 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada Februari 2026.

 

Pada Julai 2026, kumpulan turut memperoleh kontrak tambahan bernilai RM403.6 juta daripada TNB, sekali gus meningkatkan tempahan dalam tangan kepada lebih RM1 bilion.

 

Eksport AS terus berkembang

Dalam pada itu, pasaran eksport, khususnya AS, dijangka terus menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan Southern Cable.

 

Hasil eksport pada 1QFY26 melonjak 117.1% tahun ke tahun kepada RM67.5 juta, didorong peningkatan penghantaran ke AS serta pemenuhan projek bagi entiti serantau yang beroperasi di Malaysia.

 

JF Apex Securities menjangkakan permintaan eksport terus berkembang seiring peningkatan aktiviti infrastruktur di AS dan kemajuan pensijilan produk Southern Cable.

 

Di pasaran domestik pula, permintaan kekal disokong pembangunan pusat data, peningkatan grid elektrik nasional serta projek tenaga hijau.

 

Walaupun unjuran pendapatan FY26F dan FY27F masing-masing diturunkan kepada RM163.1 juta dan RM194 juta susulan keputusan suku tahunan terkini, prospek jangka panjang Southern Cable kekal positif.

 

Penganalisis mengekalkan saranan 'Beli' dengan TP dinaikkan kepada RM2.97, berdasarkan P/E 20 kali ke atas EPS FY27F sebanyak 14.9 sen.

 

Selain pengembangan kapasiti, saranan itu turut disokong buku pesanan yang kukuh, peningkatan infrastruktur tenaga, pembangunan pusat data, pertumbuhan eksport AS serta pengukuhan kapasiti pengeluaran. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved