Dicekup cuba lari pemeriksaan polis rupanya positif dadah

25 Aug 2026 • 10:51 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dicekup cuba lari pemeriksaan polis rupanya positif dadah
Tangkap layar rakaman video tular seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis diberkas di Jalan Persiaran Hamzah Alang, Meru pada Isnin.

KLANG - Tindakan lelaki memandu secara melulu dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis peronda di Jalan Persiaran Hamzah Alang, Meru di sini pada Isnin membongkar penglibatannya dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, tangkapan pemandu warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu dibuat kira-kira jam 6.10 petang.

Menurutnya, suspek yang memandu Toyota Alphard itu dikejar sejauh kira-kira tiga hingga empat kilometer.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau atas kesalahan dadah.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah selain semakan mendapati kenderaan digunakannya adalah milik kenalannya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut kerana mengingkari arahan berhenti dari pihak berkuasa, kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan kesalahan memandu secara melulu sehingga membahayakan keselamatan pengguna lain.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini bolehlah tampil atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Nurul Aida Roslan di talian 016-5033572.

Sebelum itu tular rakaman video orang awam memaparkan penahanan suspek di lokasi kejadian.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved