KLANG - [DIKEMASKINI] Dua lelaki dibelasah sekumpulan individu bersenjatakan beberapa objek dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam.
Menurutnya, dua mangsa tempatan berusia 22 dan 26 tahun dipukul beberapa suspek hingga mengalami kecederaan pada muka dan hidung.
Kedua-dua mangsa kemudian menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
"Bertindak atas maklumat, pada 23 Ogos (Ahad), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menahan lima suspek tempatan berusia antara 18 hingga 25 tahun.
"Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 26 Ogos untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta tampil membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Muhammad Amirul Asyraf Salim di talian 010-3381645, Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berdekatan," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.






