
SHAH ALAM – Seorang lelaki melalui detik ngeri apabila diculik, dikurung dan didera sebelum dibunuh dengan senjata tajam dengan mayatnya ditanam di Semenyih, baru-baru ini.
Tragedi itu bermula pada 24 September apabila mangsa berusia 34 tahun itu dilarikan dari kawasan pusat perniagaan Ampang Waterfront kira-kira pukul 4.30 pagi pada 24 September lalu sebelum dibawa ke sebuah premis di Jalan Cheras-Kajang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian itu terbongkar apabila polis menerima laporan daripada isteri mangsa yang gagal menghubungi suaminya itu.
Katanya, siasatan awal mendapati perselisihan faham dipercayai menjadi punca kejadian meskipun mangsa dan suspek tidak saling mengenali.

“Mangsa yang bekerja sendiri tersebut telah diculik sebelum dikurung dan didera di sebuah premis dalam tempoh tertentu. Kumpulan suspek seterusnya telah dibunuh di sebuah lokasi di Semenyih,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, penemuan mayat mangsa dilakukan hasil penangkapan 15 suspek termasuk dua lelaki warga asing berusia 20 hingga 48 tahun antara 24 hingga 27 September lalu selain merampas dua laras senapang, sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebilah cangkul yang dipercayai digunakan untuk menanam mangsa.
Shazeli berkata, kumpulan suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan gangsterisme, manakala semakan mendapati beberapa daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Dalam perkembangan sama, Shazeli memaklumkan pihaknya sedang mengesan lima suspek iaitu Kamarul Zaimi Kamaruddin, 46, Mohamad Hazmi Md. Yusof, 35, Mohd. Shaiful Azhar Mohamed Noor, 41, Tengku Khairulnizam Tengku Ham, 48 dan Mohd. Khairil Harun, 40. – KOSMO! ONLINE
The post Diculik, didera, dibunuh sebelum mayat ditanam di Semenyih appeared first on Kosmo Online.






