
KAJANG - Penjual durian yang diculik sebelum mayatnya ditemui ditanam di Semenyih dipercayai telah diseksa terlebih dahulu sebelum dibunuh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan masalah peribadi.
Menurut beliau, kes terbongkar selepas polis menahan 15 individu yang terbabit dalam tiga kes jenayah berasingan, meibatkan penculikan, pembunuhan dan kesalahan berkaitan senjata api.
“Mangsa diculik oleh sekumpulan individu yang menaiki sebuah kereta di Ampang Waterfront antara jam 4 pagi hingga 4.30 pagi pada 24 September lalu,” katanya.
Jelas Shazeli, kehilangan mangsa disedari isterinya yang kemudian membuat laporan polis, sekali gus mendorong pihak berkuasa melancarkan operasi mengesan lelaki itu serta mengumpulkan maklumat risikan.
“Berdasarkan laporan yang diterima, polis menjalankan operasi sehingga membawa kepada beberapa tangkapan awal.
“Pada 27 September, hasil siasatan membawa polis ke satu lokasi di kawasan Semenyih, Kajang, tempat mangsa dipercayai dibunuh dan ditanam,” katanya.
Beliau berkata, beberapa lagi suspek yang masih diburu dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Shazeli memberitahu, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 42 tahun dan mengenali suspek terbabit.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek, yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan kumpulan samseng.
“Mangsa dikurung di sebuah kediaman lain sebelum dibunuh tetapi polis belum dapat memastikan waktu sebenar pembunuhan itu berlaku,” katanya.
Jelas beliau, bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat beberapa kecederaan serius disebabkan senjata tajam pada bahagian leher.
“Berdasarkan kecederaan yang ditemukan pada tubuh mangsa, keadaannya menunjukkan mangsa dipercayai telah didera.
“Selain kecederaan pada leher, terdapat pelbagai kecederaan lain pada tubuh mangsa,” katanya.
Beliau berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor dengan kerjasama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dan Kajang dari 24 hingga 27 September lalu berjaya membawa kepada penahanan 15 individu.
Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta dua lelaki warga asing, berusia antara 20 hingga 48 tahun.
Semakan rekod mendapati sebahagian daripada individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan dadah.
Dalam operasi itu, polis turut merampas dua pucuk senapang, sebuah kereta Proton Wira dan sebilah cangkul yang dipercayai digunakan untuk menanam mayat mangsa.
Shazeli turut mengesahkan tiada wang tebusan diterima dalam kes berkenaan.
Katanya, semua suspek yang dikenal pasti telah dituduh di mahkamah pada 13 Oktober lalu.
“Bagi kes penculikan, tiga suspek didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
“Dalam kes pembunuhan pula, dua suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, manakala tiga lagi didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, dibaca bersama Seksyen 302,” katanya.
Sementara itu, tiga suspek berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, dibaca bersama Seksyen 36(1) akta sama, berhubung kesalahan berkaitan senjata api.
Dua suspek warga asing pula didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, beberapa individu lain akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan, manakala lima lagi suspek masih bebas dan sedang diburu polis.
“Polis percaya lima suspek yang masih dikesan itu berada di dalam negara. Maklumat mengenai individu terbabit akan disebarkan bagi membantu usaha mengesan dan menahan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Shazeli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan, khususnya yang mengancam keselamatan atau membabitkan penggunaan senjata api, supaya tampil membantu siasatan. - Getaran, 14 Oktober 2026




![3 Remaja Terkena Renjatan Elektrik Ketika Perarakan: Apa Yang Kita Ketahui Setakat Ini [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/perarakan-di-Mergong.jpg?t=1791976815)

