
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sekolah bukan sahaja tempat untuk pelajar menimba ilmu, bahkan disinilah mereka mempelajari pelbagai perkara bagi masa depan.
Bukan hanya itu, sekolah juga sepatutnya menawarkan persekitaran yang selamat buat anak-anak serta bebas daripada sebarang ancaman keselamatan.
Suami Guru Besar sekolah rendah di Gua Musang ditahan polis bantu siasatan kes intai pelajar perempuan di tandas
Terbaharu seorang warga emas yang merupakan suami kepada guru besar sebuah sekolah rendah telah ditahan untuk membantu siasatan berkaitan kes mengintai murid perempuan di tandas sekolah di Gua Musang, Kelantan.
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo warga emas itu direman selama tujuh hari bermula pada 17 Mei sehingga 23 Mei untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Dalam pada itu memetik laporan Sinar Harian, sumber memaklumkan lelaki yang berusia 60 tahun tersebut berada dalam keadaan yang mencurigakan berdekatan tandas perempuan sebelum tindakan tersebut disedari oleh beberapa orang pelajar.
“Situasi itu mencetuskan rasa tidak selamat dalam kalangan murid dan ibu bapa yang bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka.
“Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 2.15 petang pada 7 April lalu di kantin sekolah apabila empat orang murid perempuan memaklumkan terdengar suara jeritan rakan mereka dari dalam tandas,” jelasnya.
Pelajar dakwa nampak dua murid dalam tandas sebelum nampak lelaki keluar dari tandas sama
Kata sumber itu lagi, pelajar berkenaan juga mendakwa melihat dua murid perempuan tahun dua ada dalam tandas berkenaan sebelum terlihat seorang lelaki keluar dari tandas terbabit.
Bukan hanya itu, jelas sumber itu lagi warga emas sama juga turut didakwa sering dilihat berada di kawasan surau sekolah tersebut pada waktu petang pada awal Mei yang lalu sewaktu sesi Kelas al-Quran serta Fardu Ain (Kafa) berlangsung.
“Lelaki itu didakwa mengintai murid perempuan yang sedang mengambil air sembahyang.
“Susulan kejadian itu, laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.”






