Nyawa anak jadi taruhan akibat kecuaian sekeliling

LocalFamily & Parenting
15 May 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nyawa anak jadi taruhan akibat kecuaian sekeliling
Isu keselamatan murid sekolah kembali menjadi perhatian selepas beberapa insiden kemalangan yang membawa kepada kehilangan nyawa. Gambar hiasan

MALANG tidak berbau. Akhir-akhir ini isu keselamatan murid sekolah kembali menjadi perhatian selepas beberapa insiden kemalangan yang membawa kepada kehilangan nyawa.

Lebih memilukan, sebahagiannya berpunca daripada perkara yang dianggap kecil yang membawa kepada tragedi di luar jangkaan dan berakhir dengan air mata.

Pada April lalu, seorang pelajar perempuan maut selepas dipercayai dilanggar kenderaan dipandu guru di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu.

Ia diikuti kes kedua dan ketiga melibatkan murid sekolah rendah dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang di Puncak Alam dan Cheras.

Kes seterusnya ialah pemergian seorang murid perempuan Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Batu Pahat, Johor yang maut dilanggar van ketika bergerak keluar dari pintu pagar sekolah.

Pada 7 Mei pula, seorang pelajar Tingkatan Empat dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk di surau sebuah sekolah menengah di Mukah, Sarawak.

Kes terbaharu dan paling menyayat hati ialah kemalangan di Machang, Kelantan yang mengakibatkan empat murid sekolah parah. Lebih memilukan, kaki salah seorang mangsa terpaksa dipotong hingga ke paras paha bagi mengelakkan komplikasi.

Dunia ini sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak mencipta memori indah, membina masa depan dan mengembangkan potensi diri.

Usah biarkan kehilangan nyawa berulang. Ambil pengajaran daripada kes-kes yang berlaku dan pastikan langkah pencegahan diperkukuh dari sekarang.

Kita enggan lagi melihat ada lagi jiwa yang terkorban akibat perkara yang sebenarnya boleh dielakkan. Murid, ibu bapa, guru dan pihak berwajib perlu bersama-sama memikul tanggungjawab mencegah kemalangan.

Murid sendiri perlu dididik dengan disiplin asas keselamatan. Mereka perlu memahami risiko berada di kawasan berbahaya seperti longkang, tangga, koridor licin dan laluan kenderaan. Budaya bermain kasar sehingga mencederakan diri atau rakan juga perlu dibendung. Gurauan tidak seharusnya membahayakan nyawa!

Murid perlu mematuhi arahan guru dan pengawas sekolah serta berhati-hati dalam pergerakan harian agar kemalangan dapat dielakkan.

Dalam masa sama, ibu bapa perlu memainkan peranan mengenai isu keselamatan sejak kecil di rumah. Anak-anak perlu diajar mengenali bahaya persekitaran dan mengelakkan tindakan terburu-buru.

Ibu bapa juga perlu lebih peka terhadap rutin harian anak serta memastikan mereka tidak mengabaikan aspek keselamatan di kawasan berisiko seperti taman permainan, jalan raya mahupun kawasan perumahan.

Guru bukan sahaja bertanggungjawab terhadap pembelajaran akademik, malah berperanan sebagai pemantau keselamatan murid sepanjang berada di sekolah. Pengawasan di kawasan tumpuan seperti tangga, kantin dan padang perlu dipertingkatkan terutama ketika waktu rehat dan pulang sekolah.

Pihak sekolah juga perlu memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan selamat dan diselenggara secara berkala. Kawasan berisiko seperti lubang kumbahan, lantai licin, sistem pendawaian elektrik dan peralatan sukan rosak perlu segera dibaiki.

Selain itu, sekolah perlu mengambil tindakan tegas terhadap murid yang membahayakan nyawa dengan membawa kenderaan tanpa lesen ke sekolah.

Di peringkat komuniti, masyarakat boleh memainkan peranan melarang kanak-kanak menghampiri kawasan berbahaya seperti longkang atau sungai dan melaporkan aktiviti berisiko tinggi kepada pihak berkuasa.

Kementerian berkaitan pula perlu memperkukuh dasar keselamatan sekolah melalui audit keselamatan berkala, penambahbaikan garis panduan dan pemantauan infrastruktur berisiko.

Pendidikan keselamatan juga wajar diserap dalam kurikulum supaya murid lebih memahami risiko dan langkah pencegahan. Keselamatan murid bukan sekadar tanggungjawab satu pihak, tetapi amanah bersama.

Kesimpulannya, keselamatan murid bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya amanah bersama.

*Azma Mohd Lazim ialah wartawan SinarPlus