
DALAM perjalanan hidup, bukan semua yang datang ketika senang akan kekal apabila keadaan berubah.
Namun, bagi pelakon dan penyanyi Bella Astillah, beberapa insan yang pernah menjadi tempat bersandar ketika melalui fasa sukar masih berdiri di sisinya hingga ke hari bahagia.
Perkara itu membuatkan adiknya, Didi Astillah, tersentuh apabila melihat barisan pengiring pengantin atau ‘bridesmaid’ yang bakal menemani Bella pada hari istimewa tersebut.
Menerusi perkongsian di Threads, Didi meluahkan rasa syukur kerana individu yang berada bersama Bella ketika melalui waktu sukar masih kekal dalam lingkaran kehidupannya sehingga kini.

“Bila tengok ‘bridesmaid’ Kaklong semua, bahagia sangat. Teringat waktu ‘down’ Kaklong dulu, muka-muka itulah yang muncul.
“Walaupun kena naik penerbangan berjam-jam, tetap ada. Paling penting, tidak pernah tikam belakang Kaklong,” katanya.
Bagi Didi, kehadiran mereka bukan sekadar melengkapkan barisan pengiring pengantin, sebaliknya menjadi simbol kepada persahabatan yang sudah melalui pelbagai fasa.
Lebih menyentuh hati, ada antara mereka yang sanggup menempuh perjalanan berjam-jam hanya untuk berada di sisi Bella ketika kakaknya berdepan detik sukar.
“Dalam hidup, orang yang paling bermakna bukan semestinya yang paling lama dikenali, tetapi mereka yang tetap ada ketika kita sedang jatuh," kongsinya lagi.

Detik sukar
Dalam perkongsian sama, Didi turut menyentuh mengenai beberapa individu yang pernah mengecewakan kakaknya sebelum ini.
Namun, dia bersyukur kerana insan yang dirasakan tidak lagi membawa kebaikan dalam kehidupan Bella akhirnya dijauhkan.
“Yang pernah itu, Alhamdulillah sudah dijauhkan daripada Kaklong.
“Sebab Kaklong ini pun, kadang-kadang bukan salah dia pun, dia yang minta maaf sebab sayangkan persahabatan dia,” ujarnya.
Kata-kata itu seakan menggambarkan sisi Bella yang cukup menghargai hubungan persahabatan sehingga sanggup mengetepikan perasaan sendiri demi mempertahankan ikatan yang dibina.
Namun, setiap hubungan mempunyai batasnya dan ada ketika melepaskan seseorang daripada kehidupan menjadi pilihan yang lebih baik untuk ketenangan diri.
Perkongsian Didi itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengikutnya.

Sebahagian warganet mengakui mereka yang mengikuti perjalanan Bella sejak dahulu sudah mengenali individu yang rapat dengannya dan tidak melihat pemilihan ‘bridesmaid’ sebagai sesuatu yang perlu dipertikaikan.
Malah, ada yang berpendapat persahabatan sebenar tidak semestinya perlu dipamerkan di media sosial kerana ikatan tersebut hanya difahami oleh mereka yang melaluinya.
Tidak kurang juga yang tersentuh melihat Bella kini berada pada fasa bahagia selepas melalui pelbagai cabaran sebelum ini.
“Betui. Saya pun happy tengok Bella sekarang. Tapi dalam happy tu terselit perasaan sedih. Rasa sebak sayu bila ingat strugglenya dia lalui semua ini. Semoga baik-baik untuk BASS.”
Dalam pada itu, ada pengikut yang mengingatkan bahawa pemilihan pengiring pengantin merupakan hak mutlak pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga.
“Hak pilihan pengantin 100 peratus. Tiada orang lain yang berhak menentukan kecuali pengantin.”

Ada juga yang mendoakan agar Bella dan pasangannya, Syed Saddiq, dipermudahkan segala urusan menjelang hari bahagia mereka pada Oktober nanti.
Bagi Bella, barangkali perjalanan menuju bahagia bukan sekadar tentang menemukan pasangan hidup, tetapi turut menyedari siapa yang benar-benar memilih untuk terus berada di sisi ketika hidup tidak sentiasa mudah.
Dan apabila wajah-wajah yang pernah menyaksikan air mata itu kini berdiri bersama pada hari bahagia, kehadiran mereka mungkin menjadi hadiah persahabatan yang paling bermakna.






