
PETALING JAYA – “Alhamdulillah hari ini ibu bapa saya dah terima Bella 110 peratus.”
Demikian perkongsian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang bersyukur apabila kehadiran penyanyi dan tunangnya, Bella Astillah diterima baik seluruh ahli keluarganya.
Pada masa sama, pemilik nama lengkap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, menganggap fasa mencabar telah dilalui dan kini mereka lebih fokus menikmati momen manis bersama.
“Alhamdulillah setakat ini cabaran dan dugaan dah lama kita lepasi. Ini fasa bahagia.
“Saya doakan supaya fasa bahagia ini tak terhenti, itu paling penting. Kadang-kadang orang kata darah manis tak boleh banyak keluar.
“Tapi saya rasa kita banyak keluar, lari bersama pun banyak. Itu lebih mendekatkan kita dan kita saling memahami,” katanya dalam program MeleTOP, malam tadi.
Tambahnya, pesanan berharga yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah mengenai kehidupan berumah tangga.
“Kena bijak untuk berkompromi, tolak ansur itu penting. Bukan setakat nasihat daripada abuyah dan mama.
“Bila jumpa Tun Dr. Mahathir dan Tun Hasmah, perkara paling penting kena bijak tolak ansur.
“Kerana dalam mana-mana hubungan tidak ada kesempurnaan. Kalau kita kejar kesempurnaan, kita hilang kebahagiaan,” katanya.
Malam tadi, Syed Saddiq dan Bella membuat pengumuman tarikh pernikahan mereka yang bakal berlangsung pada 10 Oktober depan di Menara Merdeka 118.
Pengumunan tersebut dibuat selepas lima bulan mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. Kemenangan Syed Saddiq yang kekal dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada Julai 2026 atas pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) pada 13 Julai lalu juga melancarkan lagi perancangan penyatuan dua jiwa itu. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Ibu bapa saya dah terima Bella 110 peratus’ appeared first on Kosmo Digital.






