
KUALA LUMPUR: Lebih 300,000 guru terlibat latihan menguasai kepakaran kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan menghadapi perubahan teknologi dalam aspek pendidikan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, latihan itu bertujuan memperkukuh keupayaan guru mengintegrasikan teknologi AI dalam proses pengajaran dan pembelajaran, selaras dengan usaha melahirkan murid yang bukan sahaja celik teknologi, malah mampu berfikir secara kritis serta menghasilkan inovasi sendiri.
“Pendedahan ini penting kerana anak-anak diberikan pendedahan melalui STEM, pengaturcaraan, robotik, dan juga inovasi digital. Jadi kita juga melihat bahawa mereka bukan hanya mahu kita lihat menggunakan ciptaan orang lain, tetapi berani menghasilkan sesuatu ilmu yang mereka miliki,’ katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Nazri bin Abu Hassan (PN-Merbok) meminta menteri menyatakan apakah perancangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengintegrasikan literasi AI dalam silibus sekolah melalui Panduan Literasi AI termasuk latihan guru, penyediaan kemudahan digital dan pembangunan bakat muda bagi memastikan murid bersedia menghadapi cabaran teknologi serta keperluan pekerjaan masa hadapan.
Katanya lagi, segala usaha tersebut adalah inisiatif kerajaan supaya anak-anak tidak tertinggal dalam dunia AI, namun dalam masa yang sama tidak mahu kemajuan teknologi menjadikan mereka semakin bergantung pada internet dan kurang berfikir.
“Teknologi akan terus berubah, namun tanggungjawab pendidikan tidak berubah. Kita mesti memastikan anak-anak tahu berfikir, berpegang pada nilai manusiawi, dan mempunyai rasa peduli terhadap orang lain.
Mengulas lanjut tentang kurikulum persekolahan 2027, Fadhlina berkata, asas AI akan diperkenalkan dalam mata pelajaran Teknologi Digital di sekolah rendah dan diperkukuh melalui mata pelajaran berkaitan di sekolah menengah.
“Anak-anak mesti belajar menyemak fakta, mempersoalkan jawapan yang meragukan, dan menggunakan pertimbangan yang sewajarnya.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa bagi memastikan integrasi AI dalam pendidikan dilaksanakan secara teratur, selain daripada yang saya telah jelaskan berkaitan panduan literasi kecerdasan, kemudian diikuti dengan rancangan pendidikan Malaysia, kurikulum baharu, dan sebagainya, itu yang memastikan bahawa anak-anak diberikan juga pendedahan awal tentang AI ini, tetapi mesti dipandu dan diberikan pedoman dalam konteks bahawa menggunakan AI itu dengan selamat, dan beretika,” katanya.
Katanya lagi, intervensi yang dilaksanakan itu akan dibuat secara berterusan, maka sebab itu antara perkara penting yang akan diberi tumpuan adalah memastikan intervensi bermula daripada awal lagi oleh para guru di dalam kelas.
“Ia kemudian diikuti oleh matrik pembelajaran, dan diikuti dengan program-program yang telah pun disokong termasuk program yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan bersama dengan Kementerian Pendidikan,” katanya. – UTUSAN
The post Lebih 300,000 guru terlibat latihan kepakaran AI appeared first on Utusan Malaysia.




