Diesel turun 75 sen , RON97 dan RON95 turun 25 sen mulai esok

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2026 • 9:34 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Diesel turun 75 sen , RON97 dan RON95 turun 25 sen mulai esok

KUALA LUMPUR – Harga runcit diesel dan petrol RON95 tanpa subsidi dilaporkan menurun bagi tempoh bermula esok hingga 22 April, susulan penurunan harga pasaran minyak antarabangsa.

Kementerian Kewangan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia turun sebanyak 75 sen kepada RM5.97 seliter, berbanding RM6.72 seliter minggu lalu.

Menurut kenyataan sama, harga petrol RON95 turut mencatat penurunan sebanyak 25 sen kepada RM4.02 seliter daripada RM4.27 seliter sebelum ini. Harga RON97 juga mengalami penurunan 25 sen kepada RM5.10 seliter berbanding RM5.35 seliter.

“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) untuk minggu ini, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia serta petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut memaklumkan bahawa kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa, khususnya susulan konflik berlarutan di Asia Barat, bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api negara.

“Ia di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan mengekalkan harga bahan api bersubsidi bagi kumpulan sasaran dan sektor tertentu. Antaranya termasuk program BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter, diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, serta Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.

Secara keseluruhan, kerajaan dianggarkan menanggung subsidi bahan api sekitar RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa.

Menurut kementerian, subsidi RON95 meningkat secara ketara daripada sekitar RM300 juta sebelum konflik kepada kira-kira RM4 bilion sebulan, manakala subsidi diesel melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada sekitar RM3 bilion sebulan.