Digital Penang, Malaysian Business Angel Network lancarkan program perintis pelabur awal

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2025 • 4:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Digital Penang, Malaysian Business Angel Network lancarkan program perintis pelabur awal

image is not available

25/09/2025 - 16:11

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept – Digital Penang bersama Malaysian Business Angel Network (MBAN) melancarkan Program Angel Investment Accelerator, sebuah program perintis untuk melahirkan lebih ramai pelabur individu awal bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula di Pulau Pinang.

Majlis pelancaran dan menandatangani surat perjanjian (LOA) program itu diadakan di Kuala Lumpur sempena MBAN Summit 2025 menandakan permulaan program itu.

Berlangsung selama tiga bulan, program itu menawarkan latihan berstruktur, bimbingan dan peluang transaksi bagi pelabur baharu serta pelabur sedia ada.

Dengan membangunkan kumpulan pelabur individu awal tempatan yang berkemahiran, program ini bertujuan merangsang inovasi, menarik bakat keusahawanan dan mengukuhkan Malaysia, khususnya Pulau Pinang, sebagai hab utama bagi pertumbuhan dan pelaburan syarikat pemula di peringkat awal.

Hasil kajian terkini terhadap ahli MBAN melibatkan 59 responden menunjukkan kesan besar pelabur individu awal terhadap ekosistem itu.

image is not available

Setakat ini, pelabur tersebut telah menyalurkan hampir RM100 juta ke dalam 402 pelaburan syarikat pemula.

Program Angel Investment Accelerator direka untuk membina asas kukuh ini dengan menjadi pemangkin utama bagi meningkatkan bilangan pelabur aktif serta jumlah modal yang disalurkan, sekali gus memastikan aliran pembiayaan yang mantap bagi syarikat pemula berpotensi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Ts. Ng Kwang Ming berkata, kerjasama bersama MBAN itu dapat melahirkan lebih ramai pelabur individu awal sekaligus membuka akses pembiayaan untuk perusahaan syarikat pemula yang akan memacu pertumbuhan ekonomi digital.

Sementara itu, Presiden MBAN, Peter Wee berkata, program itu bukan sekadar latihan sebaliknya ia menghubungkan modal dengan inovasi.

“Ia menyediakan laluan berstruktur untuk pelabur belajar, mengenal pasti, dan membiayai syarikat pemula berpotensi tinggi yang akan menangani jurang pembiayaan untuk pertumbuhan peringkat awal,” katanya.

Program ini terbuka kepada pelabur individu yang bercita-cita tinggi dan aktif, termasuk individu berpendapatan tinggi, usahawan, profesional dan eksekutif.

Peserta akan mendapat manfaat daripada pembelajaran berstruktur, jaringan rakan sebaya dan penglibatan langsung dengan komuniti syarikat pemula yang berkembang di Pulau Pinang. - DagangNews.com

standard