Tiga fokus utama diberi penekanan dalam agenda digital Malaysia

24/09/2025 - 10:53
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 24 Sept – Tiga fokus utama kini menjadi tumpuan Malaysia dalam usaha memperkukuh agenda digital serantau, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Beliau berkata, tiga fokus tersebut ialah kepercayaan digital, inovasi dan kerjasama dalam kalangan negara-negara ASEAN.
“Malaysia telah menggubal Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 untuk mengukuhkan kepercayaan digital.
“Selain itu, Malaysia juga giat memperkasakan kempen keselamatan internet yang telah memberi manfaat kepada lebih 150,000 rakyat di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena penganjuran kali pertama Sidang Kemuncak Negara Digital Edisi ASEAN di Kuala Lumpur semalam.


Acara anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Global System for Mobile Communication Association (GSMA) yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri serta rakan serantau bagi membincangkan hala tuju transformasi digital rantau ini.
Selain itu, beliau berkata, inovasi adalah pemacu utama ekonomi digital ASEAN yang kini bernilai AS$300 bilion dan dijangka mencecah USD1 trilion menjelang 2030.
“Di Malaysia, kerajaan telah melancarkan pelbagai inisiatif seperti Geran Digital PMKS Madani, JENDELA dan peluasan liputan 5G yang telah mencapai 82.4% kawasan.
“Semua usaha ini bertujuan meningkatkan akses dan keupayaan rakyat untuk meneroka peluang ekonomi dan komuniti demi masa depan yang lebih sejahtera,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama serantau bersama negara jiran, sektor swasta dan rakan antarabangsa, termasuk peluasan siri GSMA M360 ke ASEAN pada 2026.
“Ini selaras dengan Visi ASEAN 2045 yang memfokuskan matlamat untuk mewujudkan komuniti digital berdaya tahan, inovatif dan inklusif.
“Sidang kemuncak ini adalah permulaan baharu kepada asas untuk membina negara digital ASEAN yang dipacu kepercayaan, berkembang melalui inovasi dan menikmati hasilnya bersama,” katanya. - DagangNews.com
standard



