Empat lelaki bebas tuduhan cederakan peguam

10 Aug 2026 • 4:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Empat lelaki bebas tuduhan cederakan peguam

GEORGE TOWN : Tiga eksekutif pemasaran dan seorang ahli perniagaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan mencederakan seorang peguam menggunakan besi, pada Oktober dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh.

Kesemua tertuduh, Yeoh Ee Seong, 48; Ng Weng Kooi, 43; Koay Beng Ghee, 38; dan Teh Eng Tat, 38, dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selepas mahkamah meneliti keterangan sembilan saksi pendakwaan serta 42 eksibit yang dikemukakan sepanjang perbicaraan. Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan kesemua tertuduh dikembalikan.

Dalam penghakimannya, Nadratun berkata, terdapat percanggahan, kelompangan dan naratif tidak konsisten dalam kes pendakwaan yang menjejaskan kebolehpercayaan keterangan saksi, khususnya berkaitan pengecaman identiti pelaku.

Menurutnya, kejadian serangan berlaku dalam tempoh amat singkat, iaitu kurang 10 saat, manakala pelaku dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didapati memakai pelitup muka.

“Berhubung pengecaman terhadap salah seorang tertuduh, mahkamah berpandangan ciri seperti ‘puffy eyes’ dan ‘eyebag’ yang ketara semata-mata tidak mencukupi untuk mengaitkannya secara konklusif dengan kejadian berkenaan.

“Bagi seorang lagi tertuduh, terdapat percanggahan ketara apabila saksi utama pendakwaan pada awalnya menyatakan pelaku tidak memakai pelitup muka, namun bersetuju ketika pemeriksaan balas bahawa kedua-dua pelaku sebenarnya memakai pelitup muka,” katanya ketika prosiding hari ini.

Nadratun berkata, mahkamah turut menolak pergantungan pendakwaan terhadap keterangan keadaan yang mengaitkan seorang tertuduh dengan sebuah Toyota Vios berwarna putih yang dilihat melalui pandu lalu McDonald’s sebelum kejadian selain mendapati pakaian yang dirampas daripada tertuduh mempunyai perbezaan dengan pakaian yang dipakai pelaku dalam rakaman CCTV.

Bagi pertuduhan terhadap Ee Seong pula, mahkamah mendapati, pendakwaan hanya berjaya menunjukkan wujudnya motif susulan perselisihan dengan mangsa, namun gagal mengemukakan bukti langsung atau tidak langsung bahawa tertuduh merancang, mengarahkan atau bersubahat dalam serangan itu.

Mengikut pertuduhan, Ee Seong didakwa bersubahat dengan Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Beh Hong Shien, 39, menggunakan sebatang besi di tepi Jalan Persiaran Karpal Singh di sini pada pukul 9.50 pagi, 22 Oktober 2024.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darshini, manakala Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi diwakili peguam Muhamad Asri Abdul Hamid. Ee Seong pula diwakili tiga peguam, Mohd Khairul Fairuz, Datuk Suhaimi Ibrahim dan Marcia Geraldine Lopez.

Sebelum ini, Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi didakwa bersubahat dengan seorang lagi lelaki yang masih bebas, namun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

The post Empat lelaki bebas tuduhan cederakan peguam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved