Dipercayai Cuba Ambil Bola, 4 Kanak-Kanak Maut Terjatuh Dalam Longkang

15 Sep 2026 • 9:43 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Dipercayai Cuba Ambil Bola, 4 Kanak-Kanak Maut Terjatuh Dalam Longkang

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Malam semalam (14 September), media melaporkan empat kanak-kanak maut selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, Kulim, Kedah.

2 Maut Di Tempat Kejadian, 2 Lagi Meninggal Dunia Dalam Perjalanan ke Hospital

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 malam itu, dua mangsa yang berusia 12 tahun maut di tempat kejadian.

Manakala, dua lagi yang masing-masing berusia lapan dan 10 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden berkenaan kira-kira jam 7.30 malam.

“Maklumat awal yang diterima mengatakan empat kanak-kanak terjatuh ke dalam longkang.

“Anggota telah ke tempat kejadian dan mendapati dua kanak-kanak lelaki telah dibawa ke hospital dan dua orang lagi maut di tempat kejadian,” katanya.

Walau bagaimanapun, polis kemudiannya mengesahkan mangsa ketiga dan keempat meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

“Kesemua mangsa berusia lingkungan lapan hingga 12 tahun tinggal berdekatan Taman Desa Kayangan.

“Dua daripada mangsa lemas adalah adik beradik tiri,” katanya.

Kesemua Kanak-Kanak Dipercayai Cuba Ambil Bola Dalam Longkang Sebelum Terjatuh & Lemas

Hasil temu bual bersama ibu mangsa mendapati kesemua mereka keluar bermain bola sebelum bola berkenaan terjatuh dan masuk ke dalam longkang.

“Kesemua mangsa dipercayai cuba untuk mengambil bola sebelum terjatuh ke dalam longkang dan lemas. Anggaran kedalaman longkang tersebut kira-kira 3.05 meter dan lebar 1.83 meter.

“Semasa kejadian tidak ada saksi yang melihat kejadian itu berlaku,” jelasnya.

Mangsa yang dikenal pasti adalah:

  • Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis (12 tahun)
  • Muhammad Arif Naufan Abdullah yang merupakan adik tiri kepada Muhamad Aeril (8 tahun)
  • Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin (12 tahun)
  • Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar (10 tahun)

Jelas Syamsul lagi, kesemua mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Baca Artikel Berkaitan: “Allah Pinjamkan 6 Tahun” – Ibu Kanak-Kanak Mati Lemas Terjatuh Dalam Terusan Reda Pemergian Anak Tersayang

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Berjaya Selamatkan Kanak-Kanak Hampir Lemas Di Sungai Sedim [Video]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved