Diperdaya sindiket, mangsa pula jadi ‘keldai akaun’

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 5:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Diperdaya sindiket, mangsa pula jadi ‘keldai akaun’

PETALING JAYA – Mendakwa diperdaya sindiket penipuan sebelum akaun bank mereka digunakan bagi transaksi yang tidak diketahui sepenuhnya, beberapa individu kini berdepan laporan polis, siasatan malah pertuduhan sebagai ‘keldai akaun’.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa, individu terbabit sebenarnya merupakan mangsa penipuan dan bukan dalang di sebalik transaksi yang disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket jenayah sama.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada sejumlah mangsa yang berdepan pelbagai laporan polis serta siasatan di daerah dan negeri berbeza.

Menurut beliau, terdapat keadaan di mana laporan-laporan berkenaan mempunyai kaitan rapat dari segi transaksi kewangan, akaun bank yang digunakan, individu terbabit serta modus operandi yang didakwa sama.

“Justeru, MHO dan mangsa memohon perhatian serta pertimbangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman supaya satu penelitian serius, menyeluruh dan berfokus diberikan terhadap keseluruhan fakta serta aduan yang dikemukakan.

“Kami berharap kes-kes yang mempunyai kaitan jelas dapat diselaraskan dan disatukan di bawah satu siasatan bersepadu bagi membolehkan keseluruhan rangkaian aktiviti sindiket dikenal pasti dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Hishamuddin berkata, siasatan yang dijalankan secara berasingan terhadap kes yang mempunyai pertalian rapat berpotensi menyebabkan fakta penting dinilai secara terpisah.

Katanya, penyatuan siasatan bukan sahaja dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti dalang sebenar sindiket, malah mengelakkan pertindihan siasatan, pengambilan keterangan berulang serta penggunaan sumber penyiasatan yang tidak optimum.

“MHO bukan mahu mencetuskan polemik atau mempertikaikan kuasa penyiasatan pihak polis, sebaliknya mahu menyuarakan keluhan mangsa yang berharap keseluruhan fakta berkaitan dinilai secara menyeluruh supaya keadilan dapat diberikan kepada semua pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Diperdaya sindiket, mangsa pula jadi ‘keldai akaun’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved