
KOTA TINGGI: Seorang wanita dihukum RM6,000 serta penjara selama tiga bulan jika gagal bayar oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas kesalahan menggunakan akaun bank milik anaknya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk transaksi penipuan sewaan rumah tidak wujud, April hingga Mei lalu.
Tertuduh, Noor Fazira Sinen, 31, dijatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Hafizah Abdul Rajak.
Mengikut pertuduhan, tertuduh tanpa maksud yang sah ada dalam kawalan instrumen pembayaran orang lain iaitu akaun Bank Simpanan Nasional milik anak kandungnya bagi tujuan menipu penama Anis Amera Zaini hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1,500 di Jalan Anggerik 2/12 Taman Anggerik Tenggara, Bandar Tenggara antara 30 April hingga 22 Mei lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 tetapi tidak melebihi RM50,000 atau pemenjaraan maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Husni Abu Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, tertuduh yang juga isteri kepada anggota polis itu berkata, dia kini sedang hamil dan perlu menanggung lima orang anak termasuk seorang OKU selain menjaga ibunya yang merupakan warga emas.-UTUSAN
The post Wanita guna akaun bank anak OKU untuk tipu sewa rumah appeared first on Utusan Malaysia.





