
KUALA TERENGGANU - Seorang suri rumah berusia 73 tahun kerugian RM80,000 selepas diperdaya sindiket ‘wang ghaib’ yang menawarkan sejumlah wang menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 4.17 petang semalam.
Menurutnya, penipuan itu bermula tahun lalu selepas mangsa tertarik dengan tawaran ‘wang ghaib’ yang dilihatnya di Facebook.
“Mangsa kemudian menghubungi seorang individu yang menggunakan nama ‘Ustaz Nasihin’ menerusi WhatsApp berdasarkan nombor telefon yang diberikan.
“Individu berkenaan menawarkan ‘wang ghaib’ yang kononnya bertujuan membantu mangsa membaiki rumah, melangsaikan hutang serta membuat sumbangan kepada anak yatim.
“Bagi mendapatkan wang berkenaan, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan mengikut jumlah yang ditetapkan,” katanya.
Azli berkata, suspek kemudiannya memaklumkan kepada mangsa bahawa wang berkenaan sudah dimasukkan ke dalam akaunnya.
Bagaimanapun, pemeriksaan mangsa mendapati tiada sebarang wang dikreditkan ke dalam akaun seperti dijanjikan.
Beliau berkata, pada 24 September lalu, mangsa dihubungi pula seorang individu lain yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Vee Hong’ dan mendakwa memegang wang berkenaan.
“Individu itu memberitahu mangsa bahawa wang tersebut boleh dituntut, namun mangsa terlebih dahulu perlu membayar RM50,000 sebagai denda kerana gagal mengambil wang berkenaan pada tempoh ditetapkan.
“Mangsa kemudian menghubungi ‘Ustaz Nasihin’ untuk mendapatkan penjelasan sebelum dimaklumkan bahawa dirinya telah ditahan dan dikenakan denda RM50,000.
“Individu itu meminta mangsa membuat bayaran berkenaan dengan jaminan wang tersebut akan dikembalikan,” katanya.
Azli berkata, mangsa yang terpedaya kemudian membuat 13 transaksi ke satu akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM80,000.
Katanya, kesemua wang berkenaan adalah daripada simpanan mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Getaran, 26 September 2026






