Diserang Dengan Parang, Lelaki Maut Ditetak 4 Individu 

26 Nov 2026 • 3:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Diserang Dengan Parang, Lelaki Maut Ditetak 4 Individu 

BALING - Seorang lelaki maut selepas diserang dan ditetak 16 kali menggunakan parang oleh sekumpulan empat lelaki di sebuah premis makanan di Pekan Lama Kuala Ketil, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihak Balai Polis Kuala Ketil menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

“Hasil pemeriksaan awal oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati terdapat 16 kesan tetakan pada tubuh mangsa, termasuk di bahagian kaki, tangan, lutut serta belakang leher.

“Sebahagian kecederaan yang dialami mangsa juga begitu serius sehingga hampir menyebabkan anggota badannya terputus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, siasatan awal serta risikan polis mendapati kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada dendam dan perebutan kawasan.

Berdasarkan maklumat orang awam, empat lelaki bersenjatakan parang dilihat keluar dari sebuah kereta Proton Persona sebelum mengejar dan menyerang mangsa.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Adzli menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu pihak polis mencegah dan membanteras perbuatan berkenaan.

Maklumat boleh disalurkan menerusi talian kecemasan NG MERS 999 atau dengan mengunjungi balai polis berhampiran. - Getaran, 26 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved