BALING - Seorang lelaki ditemukan maut dengan 16 kesan tetakan dalam kejadian di Pekan Lama Kuala Ketil kira-kira jam 12.15 tengah malam, Khamis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil pemeriksaan awal pihak forensik mendapati mangsa berusia 43 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan, lutut dan belakang leher.
Menurutnya, terdapat kesan tetakan di beberapa bahagian anggota badan sehingga hampir putus dipercayai ditetak menggunakan parang.
"Hasil siasatan dan risikan yang dijalankan oleh pihak polis mendapati motif kejadian berpunca daripada dendam dan perebutan kawasan.
"Maklumat daripada orang awam menyatakan telah melihat empat lelaki bersenjatakan parang turun daripada sebuah kereta jenis Proton Persona.
"Suspek disyaki mengejar dan terus menetak mangsa di tempat kejadian," katanya.
Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali," katanya.






