Diskaun FCLB sehingga 80% di Festival Mega iLINDUNGu

LocalSales & Promo
16 Sep 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Diskaun FCLB sehingga 80% di Festival Mega iLINDUNGu

KUALA LUMPUR – Para majikan berpeluang menikmati diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sempena Festival Mega iLINDUNGu yang berlangsung di Strand Mall, Kota Damansara pada hujung minggu ini, dari 18 hingga 20 September 2026.

Ia antara tawaran menarik yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi festival popular tersebut yang kini kembali untuk edisi ketiga dengan mengetengahkan aspirasi KESUMA Bersama Rakyat.

Festival selama tiga hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu menyasarkan kehadiran sehingga 60,000 pengunjung menerusi penyediaan pelbagai perkhidmatan perlindungan sosial, aktiviti kekeluargaan dan hiburan.

Antara tarikan utama termasuk Karnival LINDUNG Kerjaya membabitkan 25 majikan dengan lebih 2,000 kekosongan jawatan untuk diisi anjuran MYFutureJobs untuk para pencari kerja, selain khidmat bimbingan membuat resume dan peluang padanan pekerjaan.

Menurut PERKESO, festival itu menghimpunkan 11 agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), termasuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), HRD Corp, TalentCorp, NIOSH dan PTPK.

Jelasnya, penyertaan agensi-agensi berkenaan membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat berkaitan perlindungan sosial, pekerjaan, pembangunan kemahiran, kebajikan tenaga kerja dan pemerkasaan komuniti di satu lokasi.

Image from: Diskaun FCLB sehingga 80% di Festival Mega iLINDUNGu
Majikan berpeluang mendapat diskaun Faedah Caruman Lewat Bayar sehingga 80 peratus.

“Para pencarum yang memilih keluar daripada skim LINDUNG 24 Jam turut boleh mendapatkan khidmat di kaunter khas untuk mendaftar semula ke dalam skim berkenaan.

“Kami menyediakan perkhidmatan secara langsung kepada pengunjung termasuk saringan kesihatan percuma, agihan topi keledar, semakan caruman, khidmat nasihat faedah dan pendaftaran.

“Lebih 500 penghantar makanan turut bakal menerima pelekat istimewa berkaitan inisiatif perlindungan sosial, manakala pengunjung berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah dengan motosikal sebagai hadiah utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sesuai untuk kunjungan seisi keluarga, festival berkenaan menghimpunkan lebih 60 pengusaha makanan dan minuman berdaftar di bawah LINDUNG Kendiri, termasuk Suka Dessert, Sushika dan Kunafa Aiwahhh, dengan kupon diskaun disediakan kepada 100 pencarum terawal.

Pelbagai aktiviti kekeluargaan dan hiburan turut diadakan termasuk pertandingan Zumba, pertandingan fesyen kanak-kanak, pertandingan mewarna, kuiz LINDUNG, sesi Talent Scout serta segmen Dapur iLINDUNGu.

Image from: Diskaun FCLB sehingga 80% di Festival Mega iLINDUNGu
Festival Mega iLINDUNGu menggabungkan elemen kerjaya, kesihatan, aktiviti keluarga dan hiburan pentas.

Festival Mega iLINDUNGu juga akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti dan pempengaruh termasuk Kamal Adli, Elly Mazlein, Amyza Adnan, Zila Bakarin, Maria Tunku Sabri, Sathiya Kandi, Syazwan Syahmi dan Marc Saddique.

Persembahan artis tempatan pula menampilkan Andi Bernadee, Azza, Abby Abadi dan Cherpen pada Jumaat, diikuti Kartika dan Sofazr pada Sabtu, manakala Kristal X dan XPDC bakal menutup tirai festival pada Ahad.

Majlis perasmian akan disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, yang turut dijadualkan melancarkan maskot baharu PERKESO.

Image from: Diskaun FCLB sehingga 80% di Festival Mega iLINDUNGu
Pencarum yang memilih keluar daripada skim LINDUNG 24 Jam boleh mendapatkan khidmat di kaunter khas untuk mendaftar semula ke dalam skim berkenaan.

Festival Mega iLINDUNGu bukan sekadar acara hiburan dan kekeluargaan, sebaliknya menjadi medan libat urus kerajaan dengan rakyat bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial sepanjang hayat. – KOSMO! ONLINE

 

The post Diskaun FCLB sehingga 80% di Festival Mega iLINDUNGu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved