
AMPANG JAYA – Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan dua beradik perempuan berusia 16 dan 17 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah mereka di Lembah Jaya Utara di sini sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, laporan dibuat oleh ibu kepada kedua-dua remaja berkenaan selepas mereka gagal pulang ke rumah.
Menurutnya, anak sulung pengadu, Syazana Qurratu Aini, 17, keluar dari rumah kira-kira pukul 8 malam pada Sabtu lepas untuk makan bersama rakannya di kawasan berhampiran.
“Bagaimanapun, remaja itu tidak pulang ke rumah sehingga kini.
“Pada keesokan harinya kira-kira pukul 9 pagi, anak kedua pengadu, Nur Qistina Fhatanah binti Zulhazmi, 16, pula memaklumkan mahu pergi ke karnival sekolah di SMK Taman Kosas sebelum turut gagal pulang,” katanya dalam kenyataan.
Khairul Anuar berkata, pengadu mengesyaki kedua-dua anaknya keluar dari rumah kerana mahukan kebebasan.
Katanya, Syazana berketinggian kira-kira 159 sentimeter (cm), berat 45 kilogram (kg) dan berkulit cerah, manakala Nur Qistina berketinggian 155 cm, berat 45 kg serta berkulit hitam manis.
“Kedua-duanya kali terakhir diketahui berada di sekitar Lembah Jaya Utara, Ampang.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mereka diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-4289 7222,” katanya.
Tambahnya, maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, SM Afizah Zainal menerusi talian 017-218 5192.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak dalam jagaan masing-masing serta mendapatkan bantuan polis atau menghubungi talian kecemasan MERS 999 sekiranya diperlukan. – KOSMO! ONLINE
The post Disyaki mahukan kebebasan, dua beradik hilang selepas keluar rumah appeared first on Kosmo Online.






