Dituduh Curi Motosikal, Remaja 18 Tahun Diseksa 2 Hari Sebelum M*yat Dibuang Tepi Jalan

13 Oct 2026 • 10:49 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

remaja 18 tahun maut diseksa dituduh mencuri

Penemuan mayat seorang lelaki berusia 18 tahun di tepi semak berhampiran Jalan Harvard-Gurun, Kedah pada Khamis lalu membongkar kejadian menyayat hati apabila mangsa dipercayai dikurung dan diseksa selama dua hari sebelum meninggal dunia.

Menurut laporan, mangsa dipercayai ditangkap sekumpulan lelaki yang menuduhnya mencuri motosikal sebelum dibawa ke sebuah rumah dan diperlakukan dengan kejam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang dikenal pasti sebagai Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam ditangkap oleh kumpulan suspek pada 5 Oktober lalu di Pendang sebelum dibawa ke rumah salah seorang daripada mereka.

Menurutnya, mangsa yang dituduh mencuri motosikal itu dipercayai dikurung selama dua hari tanpa sebarang laporan polis dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

“Suspek menjalankan siasatan sendiri sebelum menangkap mangsa. Sepanjang tempoh itu, mangsa dipukul, diseksa dan rambutnya digunting.

“Pada malam 7 Oktober, mangsa didapati telah meninggal dunia sebelum mayatnya dibuang secara kejam di tepi jalan dan ditemukan pada pagi 8 Oktober kira-kira pukul 8 pagi,” katanya.

846966281 1090626496911718 7283356024345514300 n

Artikel berkaitan: Ibu Dedah Terputus Hubungan Sejak Sebulan Lalu Sebelum Anak Sulung Ditemui M*ut

Artikel berkaitan: “Suspek sendiri hubungi polis” – Pelajar 19 Tahun Ditemui M*ut Di Bilik Sewa

14 lelaki ditahan, termasuk dua remaja bawah umur

Susulan kejadian itu, polis menahan 14 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 24 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Gurun dan Guar Chempedak.

Polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Honda City, sebilah gunting dan kad pengenalan mangsa.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada hari sama mendapati punca kematian disebabkan kecederaan hentakan di kepala oleh daya objek tumpul.

“Hasil siasatan dan risikan juga mendapati motif kejadian berpunca kemarahan suspek utama berusia 24 tahun selepas menerima aduan penduduk menyatakan mangsa mencuri motosikal,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan ibu mangsa, Azura Zor, 41, tidak menyangka anak sulung daripada empat beradik itu akhirnya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa selepas gagal dihubungi sejak sebulan lalu.

Dalam pada itu, Adzli menghargai maklumat orang awam yang membantu pihak polis menjalankan siasatan sehingga membawa kepada penahanan suspek.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyerahkan kes jenayah kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Siasatan mendapati tiada laporan berkaitan motosikal didakwa dicuri mangsa. Mungkin sudah dipulangkan balik, walaupun mangsa dituduh mencuri, ia tidak bermakna tindakan boleh diambil sesuka hati.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis berjaya menyelesaikan kes ini hanya dalam tempoh empat jam dengan tertangkapnya 14 suspek,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved