
PETALING JAYA – Seorang pempengaruh dan pencipta kandungan, Isa Isarb mendakwa ditahan pihak berkuasa Indonesia selama enam hari, bersama beberapa indvidu lain ketika dia berada di lokasi demonstrasi mahasiswa di negara tersebut.
Isa Isarb menerusi hantaran Threads mendakwa, mereka ditahan di sana dan disyaki sebagai perisik dari Malaysia atau individu yang menerima wang daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan.
“Tujuan sebenar kedatangan kami adalah untuk membuat penggambaran dokumentari jerebu. Pada hari kejadian, kami sedang dalam perjalanan ke kawasan hutan terbakar apabila terlihat orang ramai berkumpul di lokasi demonstrasi mahasiswa. Kami pun singgah untuk menemu bual beberapa orang di situ.
“Tidak lama kemudian, kami didatangi 10 hingga 15 pegawai. Salah seorang daripada mereka terus bertanya kepada saya, ‘Adakah kamu Isa Batharul?’, sedangkan saya lebih dikenali dengan nama ‘Isa Isarb’. Mendengar mereka menyebut nama itu, saya mula merasakan ada sesuatu pelik sedang berlaku.
“Kami kemudian ditahan atas kesalahan menyalahgunakan visa pelancong. Menurut penjelasan yang diberikan, visa tersebut tidak membenarkan kami membuat penggambaran atau berada di lokasi demonstrasi,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Isa Isarb mendakwa, mereka kemudian dibawa ke balai dan serta diminta membuka telefon dan menjelaskan tujuan kedatangan ke Indonesia.
“Saya memberikan kerjasama penuh sepanjang soal siasat, sebelum kami bermalam di dalam lokap.
“Keesokan harinya, saya mula berasa cemas apabila balai yang pada mulanya sunyi tiba-tiba didatangi 40 lagi anggota, termasuk pasukan keselamatan siber dengan teknologi canggih serta pegawai-pegawai atasan yang saya sendiri kurang pasti identitinya.
“Saya mula berasa tidak sedap hati. Melihat demonstrasi berlaku di seluruh Indonesia ketika itu, saya merasakan keadaan tidak menentu. Timbul kebimbangan bahawa kami mungkin menjadi mangsa keadaan atau dijadikan kambing hitam untuk kepentingan pihak tertentu,” dakwanya.
Isa Isarb mendakwa, mereka disyaki sebagai perisik dari negara ini selepas dikatakan terdapat bukti perbualan dengan beberapa ahli politik di Malaysia.
“Perbualan dimaksudkan adalah antara saya dengan pasukan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
“Sedangkan semua itu hanyalah urusan menjemput mereka untuk ditemu bual bagi dokumentari jerebu yang sedang kami rakam,” katanya.
Dia mendakwa, jemputan untuknya ke Parlimen pada minggu yang sama turut mengeruhkan keadaan semasa soal siasat tersebut.
“Hakikatnya, saya dijemput ke sana hanya untuk menemui bual ahli Parlimen berkenaan. Lokasi itu dipilih bagi menyesuaikan sesi temu bual dengan jadualnya yang padat, tambahan pula beliau baru sahaja berkahwin.
“Ya Allah, kami sangat takut membayangkan hukuman penjara 20 tahun atau hukuman mati melalui tembakan sekiranya disabitkan dengan kesalahan pengintipan.
“Sepanjang enam hari berikutnya, kami berada dalam ketakutan dan terus disoal siasat setiap hari. Ada ketika saya merasakan seolah-olah sudah tiada harapan. Akhirnya, kami hanya mampu menerima takdir sambil terus memberikan kerjasama penuh,” katanya.
Isa Isarb berkata, sepanjang bermalam di lokap, perasaannya bercampur antara kerinduan terhadap isteri dan anak dengan kebimbangan memikirkan nasib mereka sekiranya dia dijatuhi hukuman di Indonesia.
“Saya cuba meredakan debaran dengan melukis wajah mereka pada dinding lokap menggunakan pin besi daripada surat tahanan lokap yang diberikan kepada saya.
“Pada beberapa malam, saya mengalami serangan panik kerana berasa ‘terkapai-kapai’ dalam kurungan empat dinding, tanpa tahu apa yang menanti pada keesokan hari,” katanya.
Sementara itu, dia bersyukur kerana berkat hubungan baik antara kerajaan Indonesia dengan kerajaan Malaysia, mereka akhirnya berjaya dibawa pulang.
“Jutaan terima kasih kepada kerajaan Indonesia atas layanan adil sepanjang siasatan, serta kerajaan Malaysia yang tidak melepaskan tangan kami ketika kami amat memerlukan bantuan.
“Saya akan cuba berkongsi pengalaman ini dengan lebih terperinci agar dapat dijadikan iktibar buat semua. Namun, kami tidak mahu kisah ini dijadikan bahan kempen atau digunakan untuk kepentingan mana-mana pihak.
“Lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya negeri Melaka pada 14 November serta ketika isu jerebu semakin hangat di Indonesia,” katanya.
Isa Isarb berkata, mereka merancang untuk memuat naik video tersebut di saluran YouTubenya pada 16 November ini selepas pilihan raya berkenaan dan ketika keadaan jerebu dijangka lebih reda memandangkan hujan sudah mula turun.
“Kami memohon maaf kerana tidak dapat memuat naik video setiap tiga hari di YouTube seperti biasa. Kami akan kembali aktif semula mulai 16 November,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dituduh perisik, Isa Isarb ditahan di Indonesia appeared first on Kosmo Online.





