SHAH ALAM - Pencipta kandungan digital, Isa Isarb mendedahkan dirinya ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini dan disyaki sebagai perisik dari Malaysia atau individu yang menerima wang daripada pihak tertentu untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan.
Isa berkata, dia dan pasukan pada mulanya datang ke Indonesia dengan tujuan membuat penggambaran dokumentari mengenai jerebu.
Semasa dalam perjalanan ke kawasan hutan terbakar, katanya, sekumpulan orang ramai terlihat berkumpul di lokasi demonstrasi, membuatkan pasukannya datang menyinggah sebentar untuk menemu bual beberapa individu di sana.
Bagaimanapun, menurut Isa, situasi berubah menjadi aneh apabila pasukannya didatangi 10 hingga 15 pegawai Indonesia.
"Salah seorang daripada mereka terus bertanya kepada saya; 'Adakah kau Isa Batharul?' sedangkan saya lebih dikenali dengan nama Isa Isarb.
"Mendengar mereka menyebut nama itu, saya mula merasakan ada sesuatu yang pelik sedang berlaku.
"Kami kemudian ditahan atas kesalahan menyalahgunakan visa pelancong. Menurut penjelasan diberikan, visa tersebut tidak membenarkan kami membuat penggambaran atau berada di lokasi demonstrasi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
**media[3704065]**
Isa memaklumkan, semasa disoal siasat di balai polis, dia diminta membuka telefon bimbit dan menjelaskan tujuan sebenar kedatangannya ke Indonesia.
Jelas Isa, pihaknya memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan sebelum bermalam di lokap.
Lebih mengejutkan apabila keesokan harinya, dia dituduh sebagai perisik kerana kononnya terdapat bukti perbualan antara dirinya dengan beberapa ahli politik Malaysia.
"Perbualan dimaksudkan adalah antara saya dengan pasukan Timbalan Perdana Menteri; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sedangkan semua itu hanyalah urusan jemputan untuk ditemu bual bagi dokumentari jerebu yang sedang kami rakam.
"Jemputan untuk saya ke Parlimen Malaysia pada minggu yang sama turut mengeruhkan keadaan semasa soal siasat.
"Hakikatnya, saya dijemput ke sana hanya untuk menemu bual ahli Parlimen berkenaan. Lokasi itu dipilih bagi menyesuaikan sesi temu bual dengan jadualnya yang padat, tambahan pula beliau baharu sahaja berkahwin," ujarnya.
Isa berkata, sepanjang enam hari berikutnya, dia dan pasukan berada dalam keadaan takut apabila disoal siasat setiap hari sehinggakan pernah merasa seolah-olah tiada harapan lagi.
Tidak cuma itu, Isa mendedahkan dirinya mengalami serangan panik untuk beberapa malam, ditambah pula rasa rindu terhadap anak dan isteri serta kebimbangan jika dia dijatuhi hukuman di Indonesia.
"Saya cuba meredakan debaran dengan melukis wajah mereka pada dinding lokap menggunakan pin besi daripada surat tahanan lokap yang diberikan kepada saya.
"Alhamdulillah, berkat hubungan baik antara kerajaan Indonesia dengan Malaysia, kami akhirnya berjaya dibawa pulang.
"Jutaan terima kasih kepada kerajaan Indonesia atas layanan yang adil sepanjang siasatan serta kerajaan Malaysia yang tidak melepaskan tangan kami ketika memerlukan bantuan," jelasnya.
Sementara itu, Isa memaklumkan, pihaknya merancang untuk memuat naik video dokumentari berkenaan di saluran YouTube Isa Isarb pada 16 November ini, khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
"Saya akan cuba berkongsi pengalaman ini dengan lebih terperinci agar dapat dijadikan iktibar buat semua.
"Namun, kami tidak mahu kisah ini dijadikan bahan kempen atau digunakan untuk kepentingan mana-mana pihak, lebih-lebih lagi menjelang hari mengundi PRN Melaka pada 14 November ini serta ketika isu jerebu semakin hangat di Indonesia," kata Isa.
Sinar Harian sedang mendapatkan respons daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkara ini.

![[VIDEO] MB kami ‘sempoi’, Sanusi pandu jengkaut](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/5a773fbf-715e-4e85-9f0f-5f1bf9c92657-1024x768.jpeg)




