Dituduh Ucap ‘Takziah’ Ketika Hari Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, RTM Buat Laporan Polis

Entertainment
22 Jul 2024 • 10:55 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Radio Televisyen Malaysia (RTM) semalam telah membuat laporan polis berhubung salah satu postingnya di Facebook bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 yang telah disalah terjemah oleh sistem META.

Ia susulan dakwaan tidak benar yang mengatakan RTM mengucapkan ucapan ‘takziah’ atau condolences dalam bahasa Inggeris pada posting pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang kini tular di media sosial.

image is not available

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan RTM, pihaknya telah menafikan dakwaan itu dan terjemahan yang dipaparkan di laman Facebook RTM ialah terjemahan automatik oleh sistem META.

RTM tidak memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris. Apa yang dipaparkan di laman Facebook Rasmi RTM ialah terjemahan secara automatik oleh sistem Facebook.

“Jika pengguna mengaktifkan terjemahan secara automatik, maka terjemahan bahasa Inggeris akan muncul. Terjemahan bahasa Inggeris oleh sistem Facebook adalah salah.

“RTM tidak memuat naik sebarang kandungan ucapan takziah sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17,” katanya.

Dalam masa yang sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menghubungi pengendali Facebook iaitu META berhubung kekeliruan itu.

“RTM telah membuat laporan polis dan pihak SKMM telah menghubungi META berkaitan terjemahan yang salah oleh sistem META. META juga telah mengesahkan bahawa mereka telah membetulkan,” kata kenyataan itu lagi.

Harap tiada yang salah anggap dengan posting yang telah diterjemah tu. RTM pun dah buat laporan polis mengenai hal ini.

Sumber: mStar, X

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.