Diusir sebelum kembali haram beli Mykad RM250 untuk kerja

9 Sep 2026 • 10:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Diusir sebelum kembali haram beli Mykad RM250 untuk kerja

KLANG – Pernah diusir pulang ke Indonesia, seorang wanita warga negara itu kembali secara haram ke Malaysia sebelum membeli salinan kad pengenalan palsu RM250 untuk menyamar sebagai ‘rakyat’ negara ini demi mendapatkan pekerjaan.

Rahsia wanita dikenali sebagai Rini, 37, itu terbongkar menerusi serbuan Ops Layar oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selama empat jam bermula pukul 5 petang di sebuah kilang di Bandar Sultan Suleiman di sini, hari ini.

Wanita dikenali Rini, 37, memberitahu, dia pernah mengikuti Program Rekalibrasi Pulang (RP) pada 2021 sebelum kembali ke negara ini secara haram kira-kira empat tahun lalu dengan membayar RM1,500.

“Saya kemudiannya membeli salinan kad pengenalan palsu itu dengan harga RM250 untuk digunakan bagi mendapatkan pekerjaan di kilang percetakan.

“Selepas diterima bekerja, saya terus membuang salinan berkenaan dan menggunakan pasport lama dan hidup secara haram selama empat tahun di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas ditahan dalam operasi itu.

Menurutnya, dia menerima upah RM95 sehari secara tunai sepanjang bekerja di kilang berkenaan, selain mengakui pernah berkahwin secara sindiket dengan seorang lelaki warga Indonesia dan kini berstatus janda.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Putrajaya, Mazhad Abdul Aziz berkata, seramai 195 individu telah diperiksa dengan 63 daripadanya merupakan warga tempatan.

Katanya, tiga wanita yang ditahan berusia 24 hingga 37 tahun dipercayai warga Indonesia yang menggunakan salinan kad pengenalan palsu atau milik orang lain.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)( e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000.00 atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan,” jelasnya.

Beliau berkata, JPN menjalankan 738 operasi dengan 365 individu ditangkap dan didakwa di mahkamah dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 286 individu didakwa menggunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain, manakala 79 lagi membabitkan penggunaan sijil kelahiran palsu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

The post Diusir sebelum kembali haram beli Mykad RM250 untuk kerja appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved