
DJI telah memasuki segmen perkakas rumah pintar pada tahun lalu melalui produk robot vakum pintar dan kini hadir dengan generasi baharu menerusi siri Romo 2. Dua model ditawarkan iaitu Romo P2 dan Romo A2 yang masing-masing dilengkapi penambahbaikan menarik bagi menjadikannya seiring dengan aliran semasa.

Siri baharu ini memberi tumpuan kepada proses pembersihan lebih pintar di samping mengurangkan keperluan penyelenggaraan manual. DJI turut meletakkan siri Romo 2 sebagai penyelesaian premium bagi pembersihan rumah pintar yang dikuasai oleh teknologi AI dan sistem sensor ruang DJI.
Romo 2 hadir dengan sistem pembersihan berkuasa AI yang ditambah baik, mampu mengenal pasti keadaan lantai serta menyesuaikan mod pembersihan secara automatik.
Robot vakum ini juga boleh meningkatkan kuasa sedutan ketika membersihkan permaidani, mengesan tumpahan cecair untuk mop serta bergerak lancar di ruang bersepah tanpa pengguna perlu mengalih perabot.

DJI turut melengkapkan siri ini dengan sistem mengelak halangan baharu berasaskan teknologi dron yang menggabungkan LiDAR, kamera sudut lebar dan sensor ToF untuk mengenal pasti halangan kecil seperti kabel nipis. Sistem ini juga mampu mengesan objek lutcahaya seperti cermin dan kaca manakala lampu pengesan habuk terbina membantu robot berfungsi dalam persekitaran gelap.

Romo 2 turut dilengkapi lengan robotik yang boleh berayun sehingga 123 darjah bagi pembersihan mendalam, dengan jangkauan tambahan 4.5cm berbanding model terdahulu. Ia turut menawarkan kuasa sedutan sehingga 36,000Pa dengan Boost Mode untuk permaidani dan habuk, menyokong halangan setinggi 8.5cm serta berus anti-kusut bagi pengurusan rambut.
DJI juga memberi tumpuan kepada penyelenggaraan lebih baik melalui dok pintar yang menyokong pembersihan suhu tinggi, ciri antibakteria, pengeringan udara panas serta pembersihan kumbahan automatik. Selain itu, ia turut menyokong kawalan suara, komunikasi video jarak jauh, paparan peta haba kotoran dalam aplikasi DJI Home dan pengecasan pantas 55W.

Romo P2 (tangki air) dijual pada harga RMB5,999 (~RM3,471) manakala Romo P2 dengan dermaga automatik berharga RMB6,499 (~RM3,760). Sementara itu, Romo A2 (tangki air) ditawarkan pada harga RMB5,499 (~RM3,182) dan Romo A2 dengan dermaga automatik pula berharga RMB5,999 (~RM3,471).
Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada siri ini akan dibawa masuk ke Malaysia namun sebagai alternatif, generasi pertama DJI Romo telah pun mula dijual baru-baru ini.




