SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta Setiausahanya mengemukakan permohonan baharu untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri Besar, 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan enam yang lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis minggu lalu.
DKU dan Raja Norazli Raja Nordin selaku pemohon, mendakwa 17 individu berkenaan melanggar perintah injunksi yang dikeluarkan pada 5 Jun lalu berkaitan pentadbiran dan hal ehwal DKU.
Mereka memfailkan permohonan komital itu menerusi Tetuan Halim & Ismail pada 15 Oktober lalu, dengan menamakan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan 10 Exco dan enam pihak selaku orang-orang yang menghina mahkamah yang dicadangkan.
10 bekas Exco itu ialah ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli; ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor; ADUN Chennah, Siow Kong Choon dan ADUN Labu, Siti Nur Umaira Hasim.
Selain itu, ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin; ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali; ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar; ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa dan ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah.
Baki enam pihak lain ialah empat undang luak termasuk yang dipertikaikan, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak, Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin.
Dua lagi individu ialah pembesar tempatan, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan bekas Shahbandar Sungai Ujong Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Berdasarkan afidavit sokongan yang diikrarkan Raja Norazli, Mahkamah Tinggi pada 5 Jun lalu memberikan injunksi ad interim terhadap enam pihak sementara menunggu keputusan saman pemula yang difailkan mereka.
Hakim, Roz Mawar Rozain membenarkan permohonan dua pemohon itu bagi mengekalkan status quo pentadbiran DKU sehingga tindakan undang-undang berkenaan diputuskan.
Bagaimanapun, pemohon mendakwa enam plaintif terbabit masih meneruskan tindakan untuk melaksanakan pengisytiharan bertarikh 19 April lalu berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, meskipun perintah injunksi berkenaan masih berkuat kuasa.
Afidavit menyatakan, Exco terbabit menerusi kenyataan pada 15 September lalu mengumumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia telah diturunkan takhta, manakala individu lain diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar serta-merta.
Mereka juga didakwa mengarahkan pentadbiran negeri melaksanakan keputusan berkenaan.
Pemohon turut mendakwa enam plaintif itu mengeluarkan kenyataan media dan mengadakan beberapa sidang media antara 5 September hingga 11 Oktober lalu bagi mempertahankan kesahan serta keberkesanan pengisytiharan berkenaan.
Sehubungan itu, kedua-dua pemohon mendakwa terdapat kes terhadap 17 individu terbabit atas alasan mereka dengan sengaja membantu atau menyebabkan pelanggaran perintah injunksi yang dikeluarkan pada 5 Jun lalu.
Dalam afidavit sama, pemohon menyatakan Menteri Besar menerusi surat bertarikh 17 September lalu sekali lagi memaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Duli Yang Maha Mulia telah diturunkan takhta dan individu lain dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Mereka turut mendakwa Menteri Besar tidak pernah menarik balik atau membuat pembetulan secara terbuka terhadap kenyataannya pada 9 September lalu bahawa beliau menandatangani surat cara proklamasi berkenaan tanpa kerelaan dan di bawah paksaan.
Malah, pemohon menyatakan MB juga tidak menarik balik kenyataannya bahawa surat cara itu tidak mematuhi prosedur di bawah Fasal 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), selain mendakwa dokumen berkenaan tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Menurut pemohon, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan prosiding komital dimulakan terhadap Exco terbabit walaupun mereka bukan pihak dalam saman pemula berkenaan.
Mereka mendakwa individu berkenaan mengetahui kewujudan perintah injunksi yang dikeluarkan sebelum ini atau melakukan tindakan yang mengakibatkan pelanggaran perintah tersebut.
Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei lalu apabila Mubarak bersama lima individu lain memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU pada 17 April lalu.
Minit mesyuarat itu antara lain berkaitan keputusan untuk melucutkan jawatan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Pada 5 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan injunksi ad interim dalam saman pemula itu bagi mengekalkan status quo, khususnya berkaitan komposisi DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai setiausahanya.
Bagaimanapun, Raja Norazli mendakwa laporan media pada hari sama menunjukkan plaintif, khususnya Maarof, menyertai upacara pertabalan Tunku Datuk Seri Nazaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu, walaupun perintah injunksi ad interim telah dikeluarkan.






