DKU Negeri Sembilan, Setiausaha mohon mencelah semakan kehakiman

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 1:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DKU Negeri Sembilan, Setiausaha mohon mencelah semakan kehakiman

KUALA LUMPUR: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta setiausahanya memohon untuk menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman yang antara lainnya memohon menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 17 Julai lalu itu dikemukakan tiga orang bekas Undang iaitu, Datuk Mubarak Thahak; Datuk Maarof Mat Rashid; Datuk Abd Rahim Yasin dan Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah.

Pada 6 Ogos lalu, DKU Negeri Sembilan dan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Permohonan mencelah itu dibuat atas alasan antaranya Mubarak, Maarof, Abd. Rahim dan Muhammed tidak mempunyai sebarang locus standi (hak di sini undang-undang) untuk memfailkan semakan kehakiman itu dan terdapat permohonan komital terhadap mereka di Mahkamah Tinggi Seremban.

Oleh itu, Raja Norazli dan DKU wajar dibenarkan untuk mencelah dan mengambil bahagian di dalam prosiding-prosiding yang berkaitan.

Mereka juga memohon agar Mubarak, Maarof, Abd. Rahim dan Muhammed diarahkan menyerahkan keseluruhan dokumen prosiding.

Raja Norazli dan DKU turut memohon penggantungan prosiding semakan kehakiman itu ekoran terdapat keadaan-keadaan khas yang mewajarkan semakan itu digantung.

Ia sehingga sementara menunggu pelupusan penuh dan muktamad permohonan mencelah itu bagi memastikan kes tidak menjadi sia-sia atau akademik.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menyarankan agar pemohon (Mubarak, Maarof, Abd. Rahim dan Muhammed) untuk berbincang dan memutuskan sama ada ingin meneruskan kes berkenaan di ibu negara atau memindahkannya ke Seremban, Negeri Sembilan.

“Terdapat tiga permohonan di hadapan mahkamah hari ini termasuk permohonan untuk menjadi pencelah. Bagaimanapun, mahkamah meminta pihak pemohon (dalam semakan kehakiman) untuk menentukan sama ada ingin memindahkan kes ke Seremban memandangkan terdapat permohonan serupa di sana.

“Mahkamah tetapkan 7 Oktober ini untuk pemohon memaklumkan mahkamah status perkara itu,”katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat prosiding itu.

Menurut semakan kehakiman itu, Mubarak, Maarof, Abd. Rahim dan Muhammed menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri selaku responden dalam permohonan tersebut.

Menurut afidavitnya, keempat-empat mereka menghadiri mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan yang dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz pada 5 Mac lalu yang mana Mubarak didakwa membangkitkan beberapa dakwaan berkaitan pelanggaran adat.

Muhammed mendakwa mesyuarat tersebut menjadi tegang sebelum keempat-empat mereka meninggalkan mesyuarat dan berkumpul di Balai Undang Sungai Ujong.

Di Balai Undang itu, mereka membincangkan dakwaan berhubung kesalahan dan pelanggaran adat tersebut, sebelum membuat kesimpulan bahawa Tuanku Muhriz tidak lagi layak untuk terus memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Antara relif yang dimohon ialah perintah mandamus untuk memaksa Menteri Besar menandatangani satu dokumen pemasyhuran yang didakwa bertujuan menyingkirkan Tuanku Muhriz dan seterusnya mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Pemohon turut memohon deklarasi bahawa dokumen pemasyhuran yang ditandatangani oleh mereka pada 19 April lalu adalah sah di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. – UTUSAN

The post DKU Negeri Sembilan, Setiausaha mohon mencelah semakan kehakiman appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved