Mahkamah tolak rayuan Siti Kasim berhubung perintah larangan himpunan 'Tangkap Azam Baki'

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 8:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mahkamah tolak rayuan Siti Kasim berhubung perintah larangan himpunan 'Tangkap Azam Baki'
Siti Kasim

PUTRAJAYA -  Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan permohonan semakan kehakiman oleh aktivis dan peguam, Siti Kasim serta seorang lagi individu berhubung perintah larangan perhimpunan yang mendesak bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletak jawatan, empat tahun lalu.

Pengerusi panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Ong Chee Kwan, sebulat suara menolak rayuan yang difailkan Siti, atau nama penuhnya Siti Zabedah Kasim dan seorang lagi peguam S Raveentharan.

Hakim Azhahari berkata, perintah larangan yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 20 Januari 2022, yang melarang perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’, adalah sah di sisi undang-undang.

Beliau berkata perintah berkenaan dikeluarkan ketika perhimpunan itu dirancang untuk diadakan dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan Covid-19.

"Keutamaan lebih besar responden pada ketika itu, pada pandangan kami, adalah untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat dikawal dan jumlah kes dikurangkan," katanya.

Beliau berkata, perintah larangan itu tidak melanggar hak Siti Kasim dan Raveentharan, selaku pemohon, untuk bergerak bebas di bawah Perkara 9 dan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Malah, responden tidak menghalang orang awam daripada menghadiri perhimpunan berkenaan di lokasi baharu di Stesen MRT Bangsar. Berdasarkan keterangan afidavit, terbukti bahawa perhimpunan itu berlangsung secara aman dan perayu turut menghadirinya meskipun dengan sedikit kelewatan," katanya.

Azhahari berkata dalam konteks itu, hak perayu untuk bergerak bebas tidak dinafikan.

Siti Kasim dan Raveentharan memfailkan permohonan semakan kehakiman pada Januari 2022 dengan menamakan Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi ketika itu ACP Noor Dellhan Yahaya; timbalannya DSP Muhammad Faizal Mohd Amir; Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam permohonan semakan kehakiman berkenaan, Siti Kasim dan Raveentharan menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan atas dakwaan pencabulan hak asasi kebebasan bergerak, bersuara dan hak untuk berhimpun.

Siti Kasim turut memohon ganti rugi kerana terpaksa menanggung malu, mengalami tekanan dan kekejangan kaki yang teruk selepas terpaksa berjalan dari Lorong Medan Tuanku ke lokasi perhimpunan baharu di Bangsar susulan sekatan polis di lokasi asal perhimpunan.

Pada prosiding itu, Siti Kasim dan Raveentharan diwakili peguam Kee Hui Yee manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali mewakili kesemua responden. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved