DNAA Nicky Liow: AG digesa beri penjelasan

LocalPolitics
5 Aug 2026 • 5:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DNAA Nicky Liow: AG digesa beri penjelasan

PETALING JAYA: Sebanyak 30 pertubuhan masyarakat sivil (CSO) mendesak Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar memberi penjelasan berhubung keputusan menghentikan pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM36 juta membabitkan ahli perniagaan, Liow Soon Hee atau Nicky Liow.

Mereka turut meminta penjelasan berkenaan asas keputusan melepas dan membebaskan (DNAA) terhadap Nicky.

“Selepas lebih tiga tahun, Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum memberi penjelasan mengenai alasan representasi berkenaan diterima, selain pertimbangan yang menjadi asas kepada keputusan terbabit atau sama ada pertuduhan akan dikemukakan semula pada masa hadapan.

“Orang ramai berhak mengetahui alasan pendakwaan kes terbabit dihentikan, bukannya ia dimaklumkan melalui sidang akhbar pihak pembelaan, beberapa tahun kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Julai lalu, Nicky dilaporkan dilepas dan dibebaskan daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM36 juta, selepas pendakwaan menarik balik kes berkenaan tiga tahun lalu.

Peguamnya, Datuk Rajpal Singh berkata, Nicky juga sudah melangsaikan tunggakan cukai RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan berkait Borang Nyata Cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Mengikut kertas pertuduhan, Nicky sebagai pengarah syarikat didakwa terbabit pengubahan wang haram dan memiliki wang, dipercayai hasil daripada aktiviti haram di beberapa lokasi berhampiran Lembah Klang antara 2016 hingga 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Dalam pada itu, gabungan itu turut menggesa AGC memperjelas pendirian terhadap baki pertuduhan yang masih belum dimuktamadkan.

“Kami juga menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta Parlimen memastikan rang undang-undang pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut memasukkan beberapa perkara.

“Ia sekurang-kurangnya perlu memasukkan garis panduan berkanun mengenai pelaksanaan budi bicara pendakwaan serta kewajipan menyediakan laporan tahunan mengandungi statistik terperinci, termasuk pendakwaan dihentikan, alasan dan keputusan akhirnya.

“Obligasi ini perlu berkuat kuasa serentak dengan pindaan Perlembagaan, bukannya pada suatu tarikh selepas itu.

“Pengasingan jawatan tanpa perlindungan sedemikian hanya akan menjadi perubahan pada bentuk, bukannya asas transformasi,” katanya. – UTUSAN

The post DNAA Nicky Liow: AG digesa beri penjelasan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved